NILAI – “Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa 2011 (AKSIS 2011) ini adalah untuk meraikan serta menghargai mahasiswa dan mahasiswi USIM yang telah memberi usaha yang cemerlang untuk universiti ini,” ucap Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dalam majlis tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), YBhg. Dato’ Sri Zukri Samad, merakamkan ucapan penghargaan kepada USIM, kerana berjaya melaksanakan majlis penghargaan yang gilang gemilang itu.
“Saya yakin dan percaya bahawa mereka yang mendapat anugerah pada malam ini merupakan pelajar yang mempunyai minat dan kesungguhan yang tinggi dalam menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh universiti, sekaligus menjadikan mereka sebagai pelajar contoh kepada pelajar lain” ujar Dato’ Sri Zukri Samad.
“Hasilnya nanti, pelajar akan menjadi graduan yang seimbang dari segi kecerdasan intelektual (IQ), emosi (EQ), dan spiritual (SQ) serta mampu berdaya saing dalam pasaran kerjaya dalam dan luar negara,” tambahnya lagi.
Berucap ketika merasmikan majlis penghargaan itu, beliau turut memberitahu hubungan antara BIMB dan USIM bukanlah suatu yang asing lagi kerana kedua-kedua institusi ini berkongsi karakter yang sama dengan menggunakan jenama Islam, tambahan pula hubungan ini telah diperkukuhkan lagi dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) pada 23 Disember tahun 2003.
Tambah beliau lagi, bentuk kerjasama lain yang telah dibuat antara BIMB dan USIM adalah, penempatan pelajar USIM untuk menjalani latihan industri di Bank Islam,serta penganjuran dan penyelidikan secara bersama penempatan kakitangan Bank Islam dalam program –program pascasiswazah.
Sementara itu, Alumni USIM, Sarah Liyana Osman 23 menyatakan penghargaan kepada pihak universiti kerana menjemput para alumni untuk menyampaikan anugerah tersebut kepada para penerima anugerah.
“Saya amat berbesar hati kerana pihak majlis sudi menjemput saya untuk menyampaikan anugerah pada malam ini dan saya merasakan majlis seperti ini patut diteruskan untuk memberikan inspirasi kepada pelajar lain untuk terus bergiat aktif di dalam program-program anjuran universiti,” katanya yang kini merupakan Eksekutif di Jabatan Kewangan Korporat dan Bendahari Air Asia Bhd.
Pengarah program AKSIS 2011, Wan Mohd Aminuddin Wan Rahim, pelajar tahun dua Fakulti Pengajian Bahasa Utama berkata, beliau berpuas hati dengan kelancaran majlis pada malam itu dan menyatakan AKSIS pada tahun ini banyak memberi kejutan kepada hadirin yang hadir.
“Objektif AKSIS pada tahun ini adalah untuk menghargai sumbangan pelajar yang telah mengharumkan nama universiti selain menaikkan semangat mereka untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti yang dijalankan oleh pihak unversiti,” tambahnya.
Pemenang Anugerah Perdana Siswa dan Anugerah Jasa Bakti (kategori Pembangunan Insan), Amirul Affendy Md Saad berkata, beliau amat bersyukur dengan anugerah yang dimenanginya kerana beliau tidak menjangkakan untuk menerima dua anugerah pada malam tersebut.
“Saya sudah menyertai Urus setia Latihan Pembangunan Mahasiswa (ULPM) selama empat tahun, selain dapat mengisi masa lapang, ia juga banyak mengajar saya tentang kemahiran insaniah yang kita tidak perolehinya dari sistem pembelajaran formal,” kata Pemenang Anugerah Perdana Siswa dan Anugerah Jasa Bakti (Kategori Sukarelawan), Nadzirah Mohd Ali, 23, pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM).
Antara anugerah yang dipertandingkan pada malam itu adalah, Anugerah Cemerlang Kepimpinan kategori Individu Pengurusan dan Pancapaian, Anugerah Cemerlang Sukan kategori Individu dan Berpasukan, Anugerah Jasa Bakti kategori Sukarelawan dan Pembangunan Insan, Anugerah Cemerlang Seni Kategori Individu dan Berkumpulan, Anugerah Cemerlang Usahawan, Anugerah Perdana Siswa dan Siswi, Anugerah Perdana Emas, Anugerah Perdana HEP, dan Anugerah Sumbangsih.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan pelajar daripada Unit Kebudayaan Pelajar (UKP) seperti, persembahan muzik Caklempong, Tarian Zapin Pekajang dan persembahan nyanyian daripada kumpulan Trio Interakse.
Oleh:
Siti Normuflita Mohd Shafie & Nik Norhashimah Nik Shamsuddin.