NILAI – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan (SHAMS) dan Madrasah Al Junied Al Islamiah, Singapura muncul juara Debat Bahasa Arab Antara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Dan Jemputan Nusantara 2012 yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia dekat sini baru-baru ini.
Debat anjuran Bahagian Pendidkan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama USIM ini merupakan penganjuran kali yang kelima yang menyaksikan penyertaan sebanyak 50 buah sekolah yang bertanding dan turut menampilkan pembaharuan apabila kategori Jemputan Nusantara diperkenalkan.
Pasukan debat SHAMS dinobatkan sebagai johan bagi kategori kebangsaan apabila berjaya menewaskan SMKA Al Irsyad, Pulau Pinang yang juga merupakan johan bagi pertandingan ini pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Madrasah Al Junied Al Islamiah dari Singapura pula berjaya mencipta sejarah mereka yang tersendiri apabila muncul juara bagi kategori jemputan Nusantara dengan menewaskan wakil dari Malaysia, Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang.
Penganjuran sulung debat jemputan Nusantara ini turut membawa tuah buat Al-Junied apabila pendebat mereka, saudari Nur Afifah Kamarazaman diisytiharkan sebagai pendebat terbaik akhir bagi pertandingan tersebut.
Menurut Nur Afifah Kamarazaman, dia amat gembira dan bersyukur atas kejayaan tersebut kerana tidak menyangka terpilih sebagai pendebat terbaik akhir bagi kategori jemputan Nusantara.
“saya tidak sangka kami (Aljunied) dapat sampai sehingga ke peringkat akhir dan menjuarai pertandingan sulung ini kerana negara-negara yang bertanding hebat-hebat belaka” ujar Nur Afifah ketika ditemubual.
Sementara itu, Wan Amir Asyraf Bin Romlee dari SHAMS pula diisytiharkan sebagai pendebat terbaik akhir bagi kategori kebangsaan dan untuk itu, beliau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM500, piala pendebat, piala iringan penaja dan sijil.
Kejayaan kedua-dua buah sekolah tersebut membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan, piala iringan sekolah, piala pendebat, hadiah sumbangan penaja beserta sijil.
Naib Johan pula membawa pulang RM1,000, piala iringan sekolah, piala pendebat, hadiah sumbangan penaja dan sijil.
Manakala tempat ketiga dan keempat berjaya diraih Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang dan Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya. Masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM600, piala iringan sekolah, piala pendebat, piala iringan penaja dan sijil.
Hadiah para pemenang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Shamsulkahar bin Mohd Deli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Institusi Pengajian Tinggi, Negeri Sembilan. Turut hadir, Naib Canselor USIM, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.
Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
http://egaleri.usim.edu.my