NILAI, 15 OKT 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan jalinan kerjasama bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan memeterai memorandum perjanjian (MoA) dalam penawaran program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian.
Ia merupakan kesinambungan kepada MoA yg telah pun ditandatangani sebelum ini bagi penawaran program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah di Darul Quran. Program Ijazah Sarjana Muda ini, telah pun dimulakan sejak daripada tahun 2009 selepas diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi(KPT).
Menurut Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad Naib Canselor USIM, program ini dibuat bertujuan untuk memenuhi keperluan para pelajar bidang tahfiz untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, khususnya untuk melahirkan pakar-pakar tempatan dalam bidang tahfiz Al-Quran yang profesional.
“USIM berusaha semampu mungkin membuka ruang kepada para pelajar ini untuk melebarkan lagi pengetahuan mereka di samping memberi manfaat kepada masyarakat. USIM turut menyediakan peluang secukupnya untuk mereka menambah ilmu pengetahuan demi manfaat yang akan kembali kepada umat, agama dan negara”, tambah Dato’ Musa.
USIM akan berusaha memastikan khidmat kepakaran yang ada disalurkan dengan sebaiknya kepada Darul Quran bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran para pelajar. Pengalaman yang diperoleh dalam menguruskan mahasiswa akan dimanfaatkan bersama dengan pihak Darul Quran dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Pertukaran idea, maklumat dan kemahiran akan disusun dengan lebih bersistematik bagi memaksimumkan setiap ruang dan peluang yang diberikan oleh Allah SWT. Besarlah harapan USIM agar program ini dapat diteruskan dan melahirkan lebih ramai para graduan berkualiti ke arah memartabatkan al-Quran demi kepentingan ummah secara khusus.
USIM diwakili oleh Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Prof. Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff, manakala JAKIM diwakili oleh Ketua Pengarah JAKIM Dato’ Hj. Othman Mustapha dan Dr. Nordin Ahmad Pengarah Darul Quran dan disaksikan oleh Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204