BANGI, 7 Februari 2023Seramai 100 orang peserta ditauliahkan pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) Kali ke-11 yang disampaikan oleh Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji bertempat Bangi Avenue Convention Centre.

SPIH ini merupakan sebuah program berimpak tinggi yang dianjurkan bertujuan untuk mempersiapkan bakal pembimbing haji dan umrah sebelum ke tanah suci dengan ilmu dan kemahiran profesional. Ia merupakan program signature di antara Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama bersama Lembaga Tabung Haji (LTH) yang telah diadakan sejak tahun 2010.

Objektif utama SPIH adalah bagi melahirkan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) yang berpengetahuan tinggi di bidang pengajian ibadat haji melalui pembelajaran yang sistematik, yang dapat menjelaskan hukum-hakam ibadat haji terkini berdasarkan isu-isu dan masalah semasa, serta untuk menjadi Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan PIHTAS yang berkemampuan mengajar dengan teknik pengajaran yang berkesan kepada jemaah haji.

Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji dalam ucapan perasmiannya berkata, Tabung Haji telah menerima Anugerah Labaittom daripada Kerajaan Arab Saudi, kategori Pembimbing Haji Terbaik Dunia Islam (Best Awareness Program in the Islamic World). Justeru beliau berharap program SPIH ini akan benar-benar mencapai objektifnya sekaligus membantu hasrat TH untuk melahirkan jemaah haji yang soleh dan Musleh, selain TH juga telah memperkenalkan e-Bimbingan sebagai satu portal e pembelajaran untuk Bakal Haji dan Jemaah haji sebagai peneman sepanjang perjalanan haji mereka.

  

Menurut Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Sharifuddin Md Shaarani, program SPIH kali ini Tabung Haji dan USIM telah memperkenalkan kaedah pembelajaran dan penilaian baharu untuk meningkatkan dan menambahbaik kualiti program SPIH iaitu melalui kaedah hibrid iaitu secara bersemuka dan dalam talian untuk memberi keselesaan, kemudahan di samping memperkenalkan dan membiasakan kaedah pembelajaran secara maya kepada para peserta.

Beliau turut  berhasrat untuk mengembangkan lagi dengan mewujudkan lagi pelbagai program berimpak seperti perancangan untuk menubuhkan program Diploma Lanjutan Bimbingan Ibadah Haji dan Umrah di USIM sama ada melalui pembelajaran e-learning iaitu pembangunan Micro-Credential atau secara fizikal untuk menarik lebih ramai masyarakat di luar sana mengikuti pengajian yang lebih sistematik dan profesional dalam usaha melahirkan para pembimbing ibadah haji dan umrah yang lebih berkualiti.

“Saya juga berharap untuk mewujudkan USIM-Tabung Haji Training Centre dengan menjadikan kampus USIM sebagai tempat latihan haji. Hasrat ini telah saya ucapkan kepada delegasi Tabung Haji Wilayah Tengah yang telah membuat kunjungan hormat ke pejabat saya pada tahun lepas. InshaAllah, hasrat ini akan kita murnikan dengan proposal yang akan diselaraskan di bawah Profesor Dr Mohamed Yahya Mohd Ariffin, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Peluang ini perlu USIM capai memandangkan Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji merupakan Ceo@Faculty Programme bagi USIM yang telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)’, ujarnya.

Turut serta meraikan majlis ini adalah Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Tuan Haji Mohd Sawal bin Abong Pengurus Besar (Penyelidikan dan Pembangunan Haji), Lembaga Tabung Haji, YM Tengku Haji Aziz bin Raja Abdullah Pengurus Besar (Bimbingan Haji), Lembaga Tabung Haji, dan juga Dr. Fauziah Hassan Ketua Perunding Sijil Pembimbing Ibadat Haji 2022/1444H ke-11.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan