NILAI – Satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Urusan Teknologi Wawasan Sdn. Bhd. (UTW), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebagai salah satu inisiatif kerjasama dalam menghasilkan penyelidikan yang inovatif dan membangunkan sumber manusia yang unggul dalam bidang industri penerbangan (aviation industry).
Bertempat di Lounge Executive pada 13 Mac bar baru ini, USIM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, manakala UTW pula diwakili oleh Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah UTW, Encik Mohd Arif Jaafar, dan Pengurus Besar UTW, Puan Ts. Nurshuhaila Mohd Amin.
Dalam ucapannya, Naib Canselor USIM menekankan betapa pentingnya peranan universiti sebagai sebuah institusi pengajian tinggi untuk menyokong industri dengan menghasilkan penyelidikan yang relevan dan berkualiti tinggi serta melatih sumber manusia yang beretika dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan semasa industri.
“Pemetaan hubungan universiti bersama industri telah dihubungkan dan dipadankan oleh pihak Universiti melalui Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) bagi memberikan sumbangan yang signifikan berdasarkan niche area universiti dan bidang kepakaran yang berkaitan terdapat di universiti”, ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, Ahli Lembaga Pengarah UTW pula menyatakan bahawa pihak industri juga seharusnya berbesar hati untuk menerima tawaran kerjasama daripada pihak Institusi Pengajian Tinggi dalam memastikan perjalanan dan operasi industri sentiasa ditambah baik dan terkini mengikut keperluan semasa.
“Pihak MAHB dan UTW sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak USIM dan kita akan melihat peluang dan potensi kerjasama yang lebih meluas lagi pada masa hadapan terutamanya bagi membekalkan keperluan kemahiran dan penyelesaian masalah yang dihadapi terutamanya dalam industri penerbangan”, ujarnya lagi.
Kerjasama USIM dan UTW, MAHB ini meliputi skop penyelidikan dan perundingan secara bersama, latihan, penerbitan bersama, penganjuran bersama seminar, penempatan pelajar bagi menjalani latihan industri, penempatan graduan di sektor hospitaliti, pelancongan, kejuruteraan, IT dan dalam sektor industri penerbangan.
Bagi tujuan ini, beberapa buah fakulti dari USIM akan terlibat di dalam merealisasikan agenda kerjasama ini termasuklah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), sekaligus menjadi peneraju dan pelaksana bagi pihak USIM untuk kerjasama ini.