NILAI – Fakulti Pergigian (FPg) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan jayanya menganjurkan Kolokium Pelajar Pergigian USIM kali ke-10 pada 5 Mac 2024 baru-baru ini bertempat di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Sebanyak 11 pembentangan poster, 12 pembentangan lisan oleh pelajar tahun akhir yang sertai kolokium ini. Selain itu, acara ini juga disertai oleh Dentanova, pempamer dari syarikat Systema dan juga gerai jualan dari Dental Student’s Club (DSC), FPg USIM.
Dengan tema “Transforming Oral Health Through Integration of Academic Clinical and Research,” melambangkan usaha memartabatkan pendekatan transformatif dalam kesihatan oral melalui integrasi pengajaran akademik, amalan klinikal dan penyelidikan. Kolokium tidak hanya berhasil menjadi platform untuk bertukar ilmu dan pengalaman, tetapi juga sebagai medan bagi pelajar untuk mendemonstrasikan keunggulan akademik melalui pertandingan penyelidikan.
Acara tersebut dimeriahkan dengan kehadiran Profesor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar sebagai penceramah ucaptama, yang merupakan pakar Fisiologi dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM. Beliau yang memiliki minat mendalam dalam fisiologi gender dan aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan dan advokasi, memberikan pencerahan kepada hadirin mengenai isu-isu terkini dalam kesihatan.
Dekan Fakulti Pergigian USIM, Dr. Ainuddin Yushar Yusof dalam ucapan aluannya mengatakan beliau menyambut baik penyertaan para peserta dan menekankan pentingnya kolokium ini dalam membangunkan asas yang kukuh dalam pengendalian penyelidikan di kalangan pelajar serta mendorong perlindungan harta intelek melalui hak cipta dan paten produk inovatif pergigian.
Sementara itu, Dr. Asfizahrasby Mohd Rasoul, pengarah kolokium ini turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan daripada pengurusan fakulti dan penaja yang turut menjayakan program ini bagi memastikan ia berjalan dengan lancar.
“Barisan Panel juri jemputan adalah merupakan pensyarah akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing iaitu dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mereka bertanggungjawab untuk menilai projek penyelidikan pelajar, sekaligus mewujudkan suasana penilaian kritikal dan galakan bagi penyelidik muda”, ujarnya lagi.
Dalam kategori pembentangan lisan, Sofea Najihah Binti Sabri dan Mohamad Fauzani Ismail telah memenangi tempat pertama dengan kajian mereka yang bertajuk “Analyzing The Relationship Between Mandibular Third Molar and Inferior Alveolar Nerve in Dental Panoramic Tomography By Using Deep Learning”. Penyelidikan mereka yang memanfaatkan kecerdasan buatan untuk analisis radiografi panoramik dental menonjol sebagai contoh inovasi teknologi dalam penyelidikan pergigian dan dihargai untuk potensinya dalam meningkatkan ketepatan diagnostik dan hasil rawatan.
Manakala bagi katego pembentangan poster pula, pemenang utama dimenangi oleh Amirah Nabilah Firdaus dan Nurul ‘Alimah Mohamad Mahadhir melalui kajiannya yang bertajuk “Oral Health Behaviour Among Older Adults with Cognitive Impairment and Their Caregiver: A Cross-Sectional Study”. Kajian ini meneliti tabiat kesihatan oral di kalangan warga emas dengan gangguan kognitif serta peranan penjaga mereka dalam megawasinya, ia juga memberi pendekatan holistic terhadap keperluan komuniti ini dari segi pendidikan dan penjagaan kesihatan oral.
Kejayaan para pemenang ini menggambarkan kecemerlangan akademik dan kemahiran penyelidikan yang dibangunkan oleh pelajar-pelajar FPg USIM amat signifikan dalam menekankan pentingnya integrasi antara teori dan praktik dalam pembelajaran. Dengan penyelidikan yang berinovatif dan relevan, USIM menunjukkan komitmennya dalam membangunkan masa depan yang lebih cerah dalam bidang pergigian.
Oleh: Siti Nur Rasyidah Md Ramli