KUALA LUMPUR – Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman, 23, mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Juara Anugerah Platinum Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Kali Ke-7 Peringkat Kebangsaan 2026, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan Seri Pemuisi Malaysia mewakili Negeri Sembilan.

Pelajar tahun tiga Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM yang juga ahli Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM (PUSKEB) itu menewaskan 12 peserta dari seluruh Malaysia, selain turut merangkul Anugerah Busana Terbaik (Lelaki) dan Anugerah Persembahan Terbaik.

Kemenangan Rasmin menerusi puisi Bicara Budaya karya Sasterawan Negara, A. Aziz Deraman, bukan sahaja bergantung pada kekuatan deklamasi, malah diperkukuh menerusi pendekatan persembahan yang menggabungkan elemen teater, lakonan, gerak tari, muzik, pencahayaan dan visual.

Lebih menarik, Rasmin mengetengahkan seni Randai Negeri Sembilan sebagai elemen utama persembahan bagi menzahirkan kecintaan terhadap warisan budaya negeri beradat itu, dengan gerak Randai digunakan untuk menyokong naratif puisi serta menghidupkan persoalan jati diri, budaya dan kecintaan terhadap warisan bangsa.

Persembahan dimulakan dengan alunan syair berirama Melalak, yang membawa penonton menyelami keresahan seorang anak muda terhadap persoalan jati diri dan nasib bangsanya, sebelum disusuli pembukaan Galombang, iaitu pergerakan pencak melingkar yang menjadi antara identiti seni persembahan Randai.

Kehadiran kumpulan ‘anak-anak randai’ yang membawa pelita bernyala turut memberikan nilai simbolik kepada persembahan, dengan pelita menggambarkan cahaya harapan, percambahan idea dan kejernihan fikiran dalam mencari jawapan terhadap persoalan kemerdekaan, budaya dan masa depan bangsa.

Persembahan turut diperkaya dengan paparan visual kehidupan anak muda di bandar serta latar Istana Seri Menanti, selain penggunaan alat muzik tradisional seperti bansi dan saluang yang memperkukuh nuansa budaya Minang dalam persembahan.

Kemuncak persembahan menampilkan Rasmin berdiri tegap sambil memegang buku pada sebelah tangan dan pelita pada sebelah tangan yang lain, membawa simbol ilmu sebagai nadi kehidupan dan cahaya kebijaksanaan sebagai panduan dalam membina masa depan.

Persembahan tersebut turut mendapat sokongan mahasiswa USIM yang bertindak sebagai ‘anak randai’, iaitu Muhammad Farhan Muhammad, Asyraff Adnan dan Baqir Hakimi Azhar, manakala aspek produksi teknikal, set, prop dan kostum turut dibantu rakan-rakan beliau.

Persembahan Rasmin mendapat perhatian positif barisan juri khususnya menerusi penghayatan watak dan keupayaannya menterjemahkan bait-bait puisi kepada persembahan yang mempunyai naratif tersendiri, dengan watak seorang pemuda keturunan Minang di Negeri Sembilan yang mencintai warisan budaya serta membawa nilai patriotisme, kemerdekaan dan keresahan terhadap kelunturan semangat perpaduan masyarakat.

Mengulas kejayaan tersebut, Rasmin berkata kemenangan berkenaan diharapkan dapat memberi kesan kepada penonton menerusi gabungan elemen seni dan budaya, khususnya budaya Negeri Sembilan, di samping memastikan mesej yang terkandung dalam karya puisi dapat disampaikan dengan berkesan.

“Kepercayaan juri memilih saya sebagai juara bukanlah titik untuk berhenti di sini, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus maju dalam usaha memartabatkan seni persembahan dan sastera. Pada masa yang sama, usaha menarik minat golongan muda yang mempunyai minat untuk berkecimpung dalam sastera dilihat semakin meluas dengan adanya platform sayembara puisi artistik seperti ini.” katanya.

Rasmin turut menzahirkan kecintaannya terhadap budaya tempatan menerusi pantun teromba Negeri Sembilan:

“Walau elok kebaya panjang,
Elok lagi bersulam tepi,
Walau elok budaya orang,
Budaya kita dekat di hati.”

Menurut beliau, kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa sokongan ibu bapa, keluarga, guru pembimbing, pegawai Pusat Kebudayaan USIM serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang proses persediaan dan persembahan.

Keputusan keseluruhan SDPAHM Kali Ke-7 2026 turut menyaksikan Terengganu menerusi Alya Syafiqah Adnan meraih Anugerah Emas, manakala Kelantan menerusi Nor Hisyam Ghazali menerima Anugerah Perak. Selangor menerusi Shamsilawati Abd Rahman meraih Anugerah Gangsa 1, manakala Melaka menerusi Yusnorsyazana Mohd Yusof menerima Anugerah Gangsa 2. Anugerah Busana Terbaik (Perempuan) pula dimenangi wakil Terengganu.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh perasmi program, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang turut diiringi Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PEMUISI), Dato’ Wan Razuhar.

Kejayaan kali ini turut melengkapkan peningkatan pencapaian Rasmin dalam SDPAHM apabila beliau sebelum ini meraih tempat ketiga pada edisi 2025, juga mewakili Negeri Sembilan, sebelum muncul juara pada tahun ini.

Pencapaian tersebut membuktikan keupayaan anak muda USIM menggabungkan seni sastera, teater dan budaya tradisional menerusi pendekatan persembahan yang segar, kreatif dan dekat dengan jiwa generasi muda, sekali gus mengangkat warisan Negeri Sembilan ke pentas kebangsaan.

Oleh: Rozihani Mohamad