Bandar Baru Nilai, 29 Julai 2010 – Al-Quran merupakan sumber utama bidang keilmuan dan perpaduan ummah khususnya bagi umat Islam. Manakala Sunnah Nabawiyyah berperanan sebagai petunjuk dalam memahami isi kandungan Al-Quran dan panduan dalam menjalani kehidupan seharian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Hj. Baharom (B) berkata, dewasa ini banyak cabaran yang memecahkan serta meretakkan keutuhan kesatuan umat Islam yang sekaligus mendesak umat Islam kembali ke pangkal jalan dengan memahami isi kandungan Al-Quran dan Sunnah.

“Saya berharap agar hasil pembentangan dari seminar ini dapat digarap dalam bentuk praktikal dan diaplikasi di Malaysia pada masa akan datang”.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Warisan Nabawi 2010 anjuran Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Seminar dua hari yang bermula pada 28 hingga 29 Julai ini  merupakan kali ke-2 dianjurkan dan bertemakan “Sunnah : Sumber Informasi dan asas Perpaduan”.

Seminar ini bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu serta cabaran yang dihadapi oleh umat Islam dalam melaksanakan perintah Allah swt. Disamping itu mempertemukan para ilmuwan dari pelbagai tempat dan latar belakang pendidikan yang berbeza dan bertukar-tukar maklumat serta informasi.

Sementara itu, Y.Bhg Dato’ Naib Canselor USIM Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda ketika dalam ucapan aluannya juga berharap natijah daripada Seminar ini dapat menjadi input lepada warga kampus dan masyarakt umumnya.

“ Hari ini tiada jalan lain untuk memulihkan gejala mazmumah masyarakat dan menyatupadukan ummah dengan kembali kepada petunjuk Al-Quran dan Sunnah. Warisan Junjungan besar Nabi Muhammad ini harus digali dan dihayati isi kandungannya agar tamadun Islam terus maju tanpa dipinggir”, katanya.

Sebanyak 110 kertas kerja dibentangkan dan para peserta terdiri dari dalam dan luar Negara antaranya Dr Muhammad Taufik Ramadhan Al-Buti, Profesor Dr Abdul Jaber Thabit Faraq, Prof Dato Dr Raja Abdullah Raya Yaacob dan sebagainya.

Disamping USIM selaku penganjur seminar, beberapa NGO dan badan kerajaan turut sama menaja Seminar kali ke-3 ini antaranya Yayasan Taqwa, Institut Kajian Hadith, Majlis Ugama Islam Pahang dan Majlis Ugama Islam Negeri Sembilan.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028