INDONESIA, 30 Ogos 2019 – Sekumpulan 20 pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) berbangga dapat berdakwah sambil menjalankan aktiviti khidmat komuniti bagi menyantuni masyarakat di Karimun, Indonesia dalam program pengantarabangsaan iaitu Global Islamic Student Outreach (GISO).
Menurut Pengarah Program, Hadi Helmi, Kumpulan GISO diberi nama The Pathfinder, menjalankan GISO selama enam hari bermula 24 hingga 29 Ogos. Beliau berkata, program ini bukan sahaja telah memberi pengalaman baharu kepada delegasi siswa dan siswi, malahan dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk melatih kemahiran insaniah mereka dalam berinteraksi bersama masyarakat di luar negara.
“Pelbagai aktiviti dan pengisian dijalankan termasuk Bengkel Pemantapan Fardu Ain dan Sumbangan kepada Panti Asuhan Darul Taufiq, perkongsian ilmu teknologi masa hadapan di SMP Swasta Vidya Sasana serta program penjagaan gigi kepada anak-anak TK IT Muhammadiyah,” ujar Hadi.
“Kehadiran kami disambut mesra oleh masyarakat di sana, malahan mereka mengalu-alukan kedatangan kumpulan GISO yang lain untuk mengadakan program sebegini ke tempat mereka”, tambahnya.
Antara pengalaman berharga peserta adalah apabila mereka berkunjung ke Panti Asuhan Darul Taufiq yang ditubuhkan oleh pengetua, En Haji Affendi Muhammad Ibrahim juga merupakan antara mangsa yang terselamat daripada nahas kapal terbang.
Hj Affendi merupakan seorang askar pada waktu itu telah mengalami kecederaan yg serius di lututnya. Beliau yang menyifatkan umpama diberi peluang untuk hidup kali kedua lalu membuat keputusan menggunakan wang pampasan bagi menubuhkan Darul Taufiq.
“Perkongsian hidup beliau memberi iktibar buat kami bahawa hidup ini pasti ada ujian dan dugaan yang bakal dihadapi, namun Tuhan tidak akan membebani hambaNya dengan ujian yang dia sendiri tidak mampu untuk pikul. Justeru, kita harus teruskan berbuat baik kerana firman Allah SWT, “Barang siapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)” (Surah Az-zalzalah, ayat 7),” ujar Hadi lagi.
Justeru, pengalaman mereka sepanjang program GISO sedikit sebanyak memberi kesedaran tentang masyarakat yang masih memerlukan bantuan di luar sana.
Bagi pengiring program GISO, Dr Farida Hazwani Mohd Ridzuan, beliau berharap agar peserta GISO kali ini tidak hanya menumpukan ilmu sepanjang pengajian di universiti, namun menggalakkan pelajar lebih berusaha untuk mencari ilmu baharu dna menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat sekeliling.
“Diharapkan semoga penglibatan dan usaha murni sepanjang GISO dapat mencapai objektif dan memberikan impak positif kepada semua terutama kepada delegasi siswa yang terlibat,” ucapnya.
Dikemaskini oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan