NILAI, 7 JAN 2017 – Seramai 56 orang pelajar Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mendaftar ke Asas satu bagi sesi kemasukan 2017. Pelajar yang mendaftar ini terdiri daripada 22 pelajar lelaki dan 34 pelajar perempuan. Mereka merupakan kumpulan ketiga pelajar Kolej PERMATA Insan USIM. Ini menjadikan jumlah pelajar Kolej PERMATA Insan USIM berjumlah 174 orang di mana pengambilan kumpulan sulung seramai 41 orang pada sesi 2015 dan 64 orang pada sesi kemasukan 2016.

Program PERMATA Insan USIM merupakan salah satu rancangan di bawah Program PERMATA Negara bagi menghasilkan bakal ilmuan pemikir Islam yang agung berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Program ini khusus kepada anak-anak beragama Islam, berumur lapan tahun yang mempunyai tahap IQ tinggi dan kecenderungan dalam agama.

Pemilihan pelajar Kolej PERMATA Insan USIM  sama dengan PERMATA Pintar yang mana mereka akan menduduki ujian yang dibina oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Ujian Kecerdasan (UKM- 1) bagi saringan pertama dan mereka juga akan menduduki peringkat saringan kedua UKM-2 yang sama tahap dengan ujian IQ di Universiti John Hopkins yang bertaraf dunia. Selepas itu, pelajar yang berjaya akan menduduki ujian USIM-1 iaitu ujian kecenderungan agama yang menggunakan kaedah ujian bertulis dan sesi temu duga antara pelajar dan ibu bapa kerana program ini memerlukan sokongan daripada ibu bapa.

Pelajar yang mendaftar ini adalah mereka yang berjaya terpilih daripada beberapa saringan awal sebelum ini seperti melalui ujian UKM 1 dan juga temuduga yang dibuat di seluruh negara pada akhir tahun 2016 lalu. Jumlah permohonan yang tinggi ini menunjukkan ibu bapa pada hari ini telah mula menunjukkan kecenderungan memilih institusi pendidikan yang mampu memberikan keseimbangan dunia dan akhirat kepada anak-anak mereka.


En Zulkipli Henry dari Miri, Sarawak yang menghantar anak beliau mendaftar di Kolej PERMATA Insan, USIM menyatakan bahawa beliau memilih Program PERMATA Insan USIM bagi anak beliau kerana keunikan modul kurikulum yang digunakan di sini.

“Saya percaya, anak saya akan mendapat pendidikan yang terbaik di Kolej PERMATA Insan USIM ini kerana modul kurikulum yang seimbang antara nilai kerohanian dan ilmu kontemporari dapat membantu dalam pembentukan sahsiah serta akademik anak saya. Saya berharap anak saya dapat menjadi seorang cendiakawan Islam yang tersohor kelak”kata En Zulkipli Henry.

 Anak beliau, Muhammad Aiman Zulkipli bercita-cita menjadi Pakar Kejuruteraan Angkasa berharap dapat menjadi pelajar terbaik di Kolej PERMATA Insan nanti. Muhammad Aiman yang cukup berminat dengan aktiviti inovasi dan kreativiti berharap menyertai pertandingan inovasi seperti pelajar-pelajar senior nanti.


Seorang lagi penjaga, Puan Nur Azian A Wahab yang berasal dari Johor menyatakan bahawa beliau memilih Kolej PERMATA Insan, USIM untuk anaknya Aina Alya Farourke kerana percaya dengan sistem pengajaran dan pembelajaran di sini.


‘Kemudahan di Kolej PERMATA Insan juga cukup lengkap dan ia membantu memberikan persekitaran pembelajaran yang cukup kondusif bagi membolehkan potensi pelajar-pelajar dibentuk secara optimum bukan hanya dalam aspek akademik, kerohanian, inovasi dan sebagainya. Pengalaman saya bekerja di Norway melihat bagaimana faktor persekitaran banyak membantu dalam perkembangan anak-anak ini”, ujarnya lagi.

Kolej PERMATA Insan, USIM ditubuhkan bagi meneruskan kesinambungan perkembangan ilmu Islam dan melahirkan ilmuan Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah pada masa depan.  Usaha membentuk generasi muda Malaysia dengan nilai duniawi dan ukhrawi ini diharapkan mampu membangunkan pelapis modal insan negara pada masa depan dalam pelbagai bidang profesional.

Generasi baru Malaysia ini bukan hanya mempunyai kepakaran dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, sains, matematik dan sebagainya. Tetapi mereka juga merupakan ilmuan agama yang mampu menerangkan dengan jelas hukum hakam agama secara berhemah dan praktikal.

Turut hadir semasa sesi pendaftaran berlangsung, Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh Pengarah Kolej PERMATA Insan, Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dr. Roshada Hashim.

Disediakan oleh:
Asri Husain

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204