NILAI- Mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh petugas jururawat dalam mengendalikan pesakit yang cedera akibat patah kaki, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Kesihatan (FPSK) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Asha’ari Bain mendapat idea bagi menghasilkan alat sokongan yang diberi nama Elev8thor iaitu satu reka bentuk bercirikan modular untuk mengangkat kaki pesakit yang mengalami kecederaan di bahagian kaki serta menjalankan ciri ‘offload’.

Produk Elev8thor ini mengimplementasikan cara penggunaan yang mudah dan ringkas dalam mengurangkan komplikasi pada kecederaan di bahagian kaki, memudahkan pegawai perubatan dalam aspek pengurusan luka serta memberi keselesaan kepada pesakit terutamanya. Mempunyai lapan komponen di mana lima daripada lapan komponen adalah mudah alih, selain ringan dan kompak serta boleh dilipat kerana ianya direka dengan menggunakan hard and soft foam.

Menurut Dr Mohd Asha’ari Bain lagi,  ia juga boleh digunakan dalam beberapa prosedur rawatan ortopedik seperti prosedur ‘balance traction’ untuk rawatan tulang retak di bahagian kaki, prosedur x-ray, proses pembalutan simen, prosedur ‘interlocking tibia’ untuk kecederaan di bahagian tulang tibia serta rawatan yang menggunakan ‘split skin graph’. Sistem blok modular mudah alih yang diaplikasikan oleh Ele8thor ini membantu pegawai perubatan untuk menjalankan pemeriksaan serta pengurusan luka setiap hari dengan lebih efisien. Blok-blok ini dicipta khas agar boleh bergerak dan dialihkan khusus untuk mengurangkan tekanan di kawasan luka dan mengelakkan ulser.

”Alat ini mampu mempercepatkan lagi kerja penyucian luka pesakit dan mampu mengurangkan sekurang-kurangnya 15 ke 20 minit kerja kerja kejururawatan berbanding secara traditional yang memerlukan tiga atau lebih petugas untuk membantu proses mencuci luka bagi kes patah kaki”.

”Produk ini memenangi pingat emas di Ekspo Inovasi Islam 2018 dan dalam proses untuk dipatenkan seterusnya mencari pengeluar supaya produk ini dapat dipasarkan”, tambah beliau lagi.