NILAI, 19 Januari 2018 – Membentuk sebuah pasukan debat universiti yang mantap untuk membawa cabaran universiti dalam pertandingan debat diperingkat kebangsaan dan antarabangsa memerlukan kepada gandingan para pendebat yang berkebolehan dan berpengalaman. Pendebat yang mempunyai potensi dalam pengucapan awam ini perlu dikesan diperingkat awal pengajian mereka di universiti untuk dicungkil, digilap dan dilatih secara konsisten.
Justeru itu, Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Tamhidi (Asasi) USIM telah berkolaborasi untuk kesekalian kalinya bagi menganjurkan Kejohanan Debat Inter-Tamhidi Edisi Kelima pada baru-baru ini. Objektif penganjuran kejohanan ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai kemahiran pengucapan awam khususnya debat kepada para pelajar Tamhidi USIM dan menggalakkan budaya perbahasan yang harmoni, kritis dan kritikal.
Menurut Pengarah Kejohanan Debat Inter-Tamhidi, Muhammad Adam Muhammad Azmi, pada tahun ini sebanyak sembilan pasukan berentap dalam kategori bahasa Melayu dan masing-masing 10 pasukan untuk bahasa Inggeris dan bahasa Arab.
“Pertandingan ini hanya melibatkan pelajar Tamhidi USIM sahaja tetapi mereka bertanding mewakili aliran asasi masing-masing iaitu Tamhidi Syariah dan Undang-undang; Tamhidi Perubatan; Tamhidi Pergigian, Tamhidi Sains dan Teknologi; dan Tamhidi Perakaunan dan Muamalat”.
“Pasukan debat dari Tamhidi Perubatan muncul juara keseluruhan kejohanan ini apabila menyapu bersih dengan menjuarai setiap kategori bahasa yang dipertandingkan. Johan dan Naib Johan menerima hadiah berupa wang tunai RM 150 dan RM 100 beserta sijil penghargaan yang disediakan oleh penganjur” ujarnya.
Penganjuran kali ini turut dibantu 26 urusetia dari Kelab Debat USIM dan 19 urusetia Sekretariat Pelajar Tamhidi. Panel juri untuk setiap kategori terdiri daripada pendebat senior dan alumni debat USIM.
Diperingkat akhir kategori bahasa Melayu dan Arab, pendebat Tamhidi Perubatan menewaskan Tamhidi Syariah dan Undag-undang manakala mereka menidakkan kehebatan pendebat Tamhidi Pergigian dan kategori bahasa Inggeris.
Bagi Penasihat Kelab Debat USIM, Encik Mohd Zaini Othman, kejohanan ini ibarat serampang dua mata, kerana pada satu aspek yang lain, ia menyediakan platform kepada para pendebat senior universiti mengesan bakat-bakat pendebat baharu untuk dibawa sebagai pendebat muda (pelapis) USIM.
“Para pelajar Tamhidi ini merupakan mereka yang baru melangkah ke alam universiti selepas tamat sekolah menengah. Teknik dan cabaran debat universiti pastinya berbeza dari pertandingan bahas disekolah tetapi asasnya masih sama. Sekiranya mereka merupakan pendebat aktif semasa sekolah dahulu, ini merupakan satu kredit dan kelebihan untuk mereka serius dalam arena perdebatan universiti” tegas Zaini.
Majlis penyampaian hadiah kepada pasukan debat Inter-Tamhidi ini telah disempurnakan oleh Puan Zunaidah Ismail, Penyelaras Tamhidi Perakaunan dan Muamalat yang mewakili Pengarah Tamhidi. Kejohanan Debat Inter-Tamhidi ini merupakan pembuka kejohanan debat peringkat dalaman USIM untuk 2018. Kelab Debat bakal menganjurkan Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM pada bulan Mac nanti yang melibatkan para pendebat fakulti serta tamhidi berentap dipentas yang sama.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204