NILAI, 19 April 2022 – Majlis perasmian bangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) serta pelancaran Aplikasi Quran Isyarat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tuanku Canselor USIM bertempat di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Sri Dr. Noraini Ahmad.
Projek pembinaan bangunan FPSK USIM yang terletak di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan ini bermula pada tahun 2017 di atas tanah berkeluasan 62 ekar. Selepas 18 tahun fakulti ini beroperasi di Menara B, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, Kuala Lumpur sejak ditubuhkan pada tahun 2005, bangunan baharu fakulti ini telah memulakan operasi sepenuhnya pada bulan Oktober 2020 yang lalu.
Sehingga kini, sebanyak 12 kohort graduan perubatan telah berjaya dikeluarkan dan terus-menerus menaburkan khidmat bakti serta kepakaran mereka kepada masyarakat.
Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berkata, projek ini diharapkan menjadi ‘pembuka jalan’ kepada pembinaan bangunan Fakulti Pergigian dan Hospital Pengajar USIM bagi melengkapkan pembangunan Kompleks Kesihatan USIM. “Harapan USIM agar projek Hospital Pengajar USIM dan bangunan baharu Fakulti Pergigian dapat direalisasikan untuk memenuhi maslahat masyarakat khususnya di Negeri Sembilan dan ummah“. Jelas beliau lagi.
Selain itu, bagi menyantuni serta menyokong hasrat dan pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya di Institusi Pendidikan Tinggi yang diterajui oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) telah ditubuhkan dengan bertujuan menjalankan penyelidikan untuk meneroka ilmu baharu ke arah mempromosi kesejahteraan dan keseimbangan hidup komuniti OKU bertunjangkan Maqasid Syariah dan pendekatan Islami.
Menurut Datuk Sri Dr. Noraini Ahmad, “UMMI mencipta lagi satu sejarah apabila telah berjaya membangunan Aplikasi Quran Isyarat yang pertama seumpamanya, bagi komuniti OKU pendengaran di Malaysia. Kejayaan ini telah menarik minat Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk menjemput penyelidik dari UMMI untuk bersama-sama mempromosi aplikasi ini di Dubai Expo 2020 sebagai pendedahan di peringkat antarabangsa”.
“Pihak Kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob amat prihatin terhadap komuniti OKU dan penggubalan Dasar OKU merupakan komitmen Kerajaan dalam usaha memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Keperihatinan yang sama juga ditunjukkan dalam kalangan keluarga IPT di mana dalam Amanat Tahun 2022 Menteri Pengajian Tinggi, saya telah menekankan perlunya infrastruktur dan kemudahan disediakan sebaiknya kepada golongan OKU” Jelas beliau.
Pembangunan aplikasi ini bermula dengan usaha memenuhi permintaan Persatuan Orang Pekak Muslim Malaysia (PRISMA) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) seawal tahun 2015 untuk mempelajari Quran sesuai dengan ketidakupayaan mendengar dan bertutur mereka. Setelah dibangunkan dan melalui beberapa fasa pembangunan, aplikasi ini kini sedia untuk digunakan oleh pengguna komuniti pekak di seluruh dunia.
Keunikan yang ditonjolkan oleh aplikasi ini seterusnya melayakkannya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai “First Sign Language Al-Quran Application”.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan