Jabatan Undang-Undang (JUU) pada asalnya bermula dalam bulan September 2004 sebagai Unit Undang-Undang dan Tatatertib (UTT) di bawah Jabatan Pendaftar. Pada ketika itu, UTT hanya mempunyai seorang Penolong Pendaftar dengan dibantu oleh seorang staf sokongan. Kemudian pada awal September 2009, UTT telah dinaik taraf kepada Bahagian Undang-Undang (BUU) dan mempunyai lima orang kakitangan iaitu seorang Penolong Pendaftar Kanan, seorang Penolong Pendaftar, seorang Penolong Pegawai Tadbir dan dua orang Pembantu Tadbir.
Pada tanggal 1 Januari 2014, Jabatan Pendaftar telah distrukturkan semula dan BUU dinaik taraf kepada sebuah PTJ universiti. Perubahan struktur ini dibuat setelah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dalam mesyuarat LPU Bil. 4/2013 pada 25 September 2013. PTJ baharu ini dikenali sebagai Jabatan Undang-Undang (JUU) dan diletakkan terus di Jabatan Canselori di bawah pengawasan Yang Berbahagia Dato’ Naib Canselor. JUU pada masa ini beroperasi di Aras 1, Bangunan Canselori, USIM dengan kapasiti enam orang kakitangan termasuk saya sendiri sebagai Penasihat Undang-undang Undang-Undang, dua orang Pegawai Undang-Undang, seorang setiausaha pejabat dan dua orang Pembantu Tadbir.
Menurut Pn. Yuhani, Pegawai Undang-Undang dan staf pelaksana yang berperanan memberikan perkhidmatan nasihat undang-undang serta memastikan kelancaran perkhidmatan berpandukan piagam pelanggan jabatan kepada seluruh warga universiti.
S1 Mula berkhidmat
Saya mula berkhidmat di USIM pada 23 Ogos 2013 di jawatan hakiki Pegawai Undang-Undang, Gred L48 dan dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang USIM setelah lebih 18 tahun beramal sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara di beberapa buah firma guaman sekitar Lembah Klang.
S2 Ceritakan serba ringkas objektif penubuhan Pejabat Undang-Undang di USIM
Objektif penubuhan JUU adalah untuk menyediakan perkhidmatan perundangan yang berkualiti mengikut peruntukan Perlembagaan Universiti dan Undang-Undang. Ia selaras dengan misi JUU untuk memastikan hal-ehwal perundangan universiti ditadbir dengan adil, cekap dan efisien. Peranan JUU cukup besar dan signifikan bagi memastikan semua agenda universiti bertepatan dengan lunas undang-undang dan kepentingan universiti terpelihara. Ini kerana JUU menjadi pusat rujukan universiti bagi hal-ehwal perundangan yang mencakupi akademik, pentadbiran dan operasi universiti, kakitangan dan pelajar, pengurusan tanah dan pembangunan universiti.
S3 Bagaimana puan melihat peranan JUU dalam membantu Universiti meningkatkan ketelusan amalan tadbir urus terbaik?
Tadbir urus terbaik atau “good governance” adalah “konsep normatif nilai-nilai ke arah merealisasikan perlakuan tadbir urus dan kaedah yang digunakan oleh sekumpulan aktor sosial yang berinteraksi mengikut konteks sosial tertentu”. Terdapat dua aspek utama yang perlu diberi penekanan di dalam tadbir urus terbaik sesebuah organisasi iaitu pertamanya penyampaian perkhidmatan yang efektif dan efisien dan yang keduanya pematuhan undang-undang.
Bagi memastikan ketelusan amalan tadbir urus terbaik ini, JUU sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat nasihat perundangan kepada setiap kakitangan/pelajar universiti akan hak mereka di sisi undang-undang tanpa mengira taraf atau kedudukan. JUU juga adalah urus setia tindakan tatatertib pelajar dan kakitangan universiti dan terikat dengan dasar pengasingan kuasa iaitu “pendakwaan tidak boleh menjadi sebahagian pasukan siasatan”. Maka dengan sebab itulah, peranan yang boleh dimainkan oleh JUU ialah dengan memberikan nasihat perundangan apabila dirujuk di samping mencadangkan langkah-langkah penyelesaian yang boleh diambil. JUU akan mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana individu yang telah melanggar peruntukan perundangan universiti jika laporan siasatan yang dikemukakan kepada JUU lengkap dengan pembuktian dan wujud kes prima facie. Ini adalah selaras dengan firman Allah SWT yang berbunyi:-
“Jika kamu menghukum manusia hendaklah kamu menghukum seadil-adilnya”
(Surah An-Nisa’ 4: 58)
“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”.
(Surah Al-Ma’idah 5: 8)
S4 Apakah aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh JUU bagi memberikan kesedaran kepada warga universiti mengenai kepentingan mengenai aspek perundangan?
Sejak penubuhan JUU ini, pelbagai aktiviti telah dirangka untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada warga universiti akan kepentingan aspek perundangan dengan merujuk kepada Perlembagaan Universiti, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan undang-undang lain yang berkuatkuasa. Antara program yang telah dijalankan adalah Taklimat Tatatertib untuk Staf dan Panduan Menguruskan Pegawai yang Bermasalah; Taklimat Tatacara Penyiasatan dan Penyediaan Laporan bagi Kesalahan-kesalahan Staf dan Pelajar USIM; Taklimat Asas-asas Pentadbiran Kontrak: Taklimat Pelaksanaan GST & Kesannya dari Aspek Perundangan di USIM; Seminar Perlindungan Data Peribadi: Polisi & Pelaksanaannya di Universiti, Bengkel Pematuhan Kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 ; Seminar Media Sosial di IPT: Implikasi dari Sudut Perundangan; Terdapat juga taklimat berbentuk kesedaran umum yang telah dianjurkan oleh JUU iaitu Taklimat Peranan Pejabat Tanah dalam Pengurusan Pusaka Kecil yang terbuka kepada semua staf dan pelajar USIM.
Sebagai sebuah PTJ, JUU juga tidak lupa menunaikan tanggungjawab sosial yang meliputi bantuan atau khidmat sukarela kepada komuniti atau masyarakat setempat seperti penganjuran program amal kebajikan di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong Selangor Darul Ehsan pada 23 Ogos 2014 dan 13 September 2014 bersama-sama dengan warga USIM dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM. Pada 30 Jun 2016, JUU telah bekerjasama dengan Pusat Perancangan Korporat dan Pengurusan Kualiti (PPKPK) USIM dalam penganjuran Program Jalinan Amal & Majlis Berbuka Puasa dengan golongan kurang berkemampuan di sekitar Nilai.
JUU juga merasa berbangga apabila telah menjadi rujukan kolej/universiti dalam dan luar negara dengan penerimaan lawatan penanda aras oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) pada 9 Mac 2016 dan Pegawai Undang-Undang University of Kuwait dalam program sangkutan dari 3 – 6 November 2014.
S5 Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang dalam menguruskan Pejabat Undang-undang USIM?
Cabaran yang saya hadapi di dalam menguruskan JUU ini banyak dan pelbagai. Selaku Ketua Jabatan bagi sebuah PTJ yang masih baharu di USIM, saya dan seluruh warga kerja JUU bertanggungjawab mengangkat jabatan ini ke satu tahap yang tinggi agar ianya dihormati, berwibawa, dinamik, efisien serta menjadi satu jabatan yang dirujuki oleh semua warga USIM.
Cabaran lain ialah usaha untuk menanam kesedaran dan penghayatan semua warga universiti terhadap sistem perundangan universiti ke arah Kampus Barakah di samping memperbetulkan atau menambah baik amalan-amalan yang tidak menepati lunas undang-undang. Selain itu, dengan skop bidang tugas JUU yang sangat luas dan merangkumi semua aspek pentadbiran universiti di samping kekangan bilangan kakitangan yang ada, ia adalah satu cabaran yang besar bagi saya dan kakitangan JUU untuk memastikan semua tugasan yang diamanahkan kepada kami dapat dilaksanakan dengan sebaiknya dan berjalan dengan lancar.
S6 Apakah harapan dan pesanan kepada warga universiti dalam memastikan kelestarian tadbir urus terbaik dan perundangan di USIM?
Saya sentiasa percaya keupayaan sesebuah organisasi bergerak maju ke hadapan bergantung kepada penghayatan warga kerjanya mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Undang-undang digubal supaya ianya dijadikan panduan kepada semua kakitangan/pelajar dalam memastikan sesuatu perlakuan atau pekerjaan dilakukan di dalam parameter yang ditetapkan bagi menjamin keharmonian universiti.
Pesanan saya kepada warga universiti, dalam memastikan kelestarian tadbir urus terbaik dan perundangan di USIM, hayatilah semua peraturan yang telah ditetapkan dengan merujuk kepada sumber perundangan sedia ada, baik Perlembagaan Universiti, polisi, peraturan, garis panduan atau pekeliling yang boleh dimuat turun di laman web USIM. Ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah. Sekiranya tidak pasti dengan sesuatu kehendak peraturan, bolehlah terus merujuk kepada PTJ yang berkenaan untuk mendapatkan keterangan lanjut. Saya juga menyeru kepada semua warga USIM agar sentiasa menjaga integriti dan akauntabiliti mereka di dalam apa jua yang dilakukan, sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab : 23 yang bermaksud :
“Di antara orang-orang yang beriman itu ada orang-orang yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam), maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran, dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.”
Saya berdoa semoga USIM berjaya mencapai hasrat dan misinya untuk menjadi pusat rujukan global dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli dengan sokongan padu warga kerjanya. Semoga kampus USIM ini menjadi Kampus Barakah yang sentiasa melimpahkan rahmat dan kesejahteraan baik kepada warganya mahupun kepada masyarakat.