Kempen utamakan produk bumiputera bukan satu bentuk ancaman, malah dilihat sebagai salah satu kaedah merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dengan perkembangan perusahaan pesat untuk jana lebih peluang pekerjaan. Pada masa kini juga telah heboh tentang ‘perang’ oleh pengguna Muslim tentang kempen yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai melancarkan boikot terhadap produk yang dikeluarkan oleh syarikat bukan Islam. Kempen tersebut yang sebenarnya bertujuan menyeru pengguna Melayu mengutamakan produk keluaran syarikat Muslim dilihat seolah-olah memberi ancaman terhadap ekonomi negara oleh segelintir pihak. Kempen yang dibuat itu ternyata bukan satu gelombang biasa apabila sebuah portal dalam talian baru-baru ini melaporkan, gerakan yang dibuat secara sembunyi itu telah memiliki pengikut berjumlah lebih daripada satu juta pengguna. Justeru, persoalan timbul adakah kempen yang dibuat itu bakal berkesan dan memberi impak kepada ekonomi negara? Bagi mendapatkan penjelasan terperinci, ikuti temu bual bersama Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat.

S1 Sejak beberapa minggu lalu, heboh di laman-laman sosial tentang kempen yang dikatakan sesetengah pihak mahu ‘memboikot’ produk keluaran syarikat bukan Islam oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Apa pandangan Dr tentang perkara tersebut?

Dasar pengukuhan ekonomi dalam kalangan orang Melayu beragama Islam sebenarnya telah wujud sejak penjajahan British dengan menjadikan ia sebagai langkah rasmi menerusi pengenalan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pada tahun 1971 sewaktu pentadbiran Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Saya melihat konteks pendapatan antara kaum Melayu masih tertinggal jauh. Walaupun kita mempunyai pendapatan kecil, tetapi Melayu merupakan penduduk majoriti di negara ini, sekali gus ia menjadi kekuatan kaum bumiputera. Isu yang dilancarkan oleh beberapa NGO pada masa ini sebenarnya bukanlah satu bentuk serangan untuk memboikot produk bukan Muslim dan tidak sepatutnya dijadikan satu isu. Sebaliknya ia adalah satu gerakan untuk pengguna Melayu mengutamakan produk keluaran usahawan bumiputera. Untuk produk keluaran syarikat bukan Islam, selagi barang yang dibuat itu dijamin halal, pengguna Muslim masih boleh membelinya. Terdahulu, saya ada membuat tinjauan dengan bertanyakan kepada orang ramai tentang isu yang berlaku ini. Kebanyakan respons mendakwa, ada sebilangan kes terdapat percampuran antara produk halal dengan tidak halal sehingga menimbulkan keraguan pengguna Muslim. Sebagai contoh adalah cara penyembelihan ayam yang tidak sempurna, namun masih tertera logo halal di situ. Sedikit sebanyak orang Islam rasa tercabar. Jadi, lama-kelamaan isu ini menjadi semakin sensitif.

S2 Pada pandangan Dr., apakah tujuan sebenar kempen tersebut dijalankan?

Saya melihat kempen mengutamakan produk keluaran Muslim ini sebagai satu kempen yang dibuat bagi membantu pengusaha produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta para usahawan kecil. Mereka (syarikat besar) ibarat berkongsi hanya secebis potongan kek sahaja dengan pengusaha IKS dari segi keuntungan. Pada masa sama, apabila persaingan ini berlaku, pengguna akan mendapat kebaikan apabila ada harga barangan yang akan turun. Ia merupakan satu strategi dan dilihat sebagai satu bentuk persaingan sihat. Saya berpendapat para usahawan bumiputera perlu mempertingkatkan lagi kualiti dan strategi dengan memikirkan platform berkesan untuk menjual produk mereka menembusi pasaran besar seperti pasar raya utama negara.

S3 Adakah dengan cara berkempen mengutamakan produk Muslim ini sedikit sebanyak dapat menjana ekonomi terhadap produk keluaran usahawan kecil bumiputera?

Sokongan daripada kerajaan dan pengguna penting untuk membantu usahawan kecil bumiputera ini. Seperti yang diberitahu, hasrat tersebut adalah selari dengan DEB yang diperkenalkan sejak tahun 1971 untuk keseimbangan ekonomi antara kaum. Bezanya apa yang berlaku pada hari ini, ia digerakkan oleh NGO dan mendapat sokongan pengguna Muslim. Saya mengharapkan agar kempen yang dibuat itu tidak menggugat perpaduan nasional masyarakat di negara ini. Kita boleh untuk teruskan menyokong produk keluaran pengusaha Muslim, tetapi pada masa sama, kita perlu menjaga perpaduan negara. Selain itu, para pengusaha juga perlu ada jaringan perniagaan yang kuat dan saling bantu-membantu untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Apabila perusahaan IKS ini berkembang, sedikit sebanyak ia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat di luar sana.

S4 Adakah kempen seperti ini jika dibiarkan berterusan akan memberi impak kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara?

Saya tidak nampak kempen yang dilakukan para NGO ini akan memberi kesan pada pertumbuhan ekonomi negara, malah saya melihat ia merupakan satu peluang untuk ekonomi berkembang dengan lebih pesat. Apabila sesuatu perusahaan kecil itu berkembang, ia akan menjana perkembangan keuntungan yang besar berbanding dengan syarikat besar sedia ada. Apabila usahawan kecil ini dibantu dari segi sokongan dan teknologi, maka ia akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan setanding dengan negara-negara maju, selaras dengan teori ekonomi yang diperkenalkan. Peniaga kecil ini sebenarnya memacu pertumbuhan ekonomi negara sebab mereka ini diibaratkan sebagai enjin ekonomi.

S5 Adakah kempen mengutamakan produk keluaran bumiputera Islam di negara ini benar-benar dapat ‘menenggelamkan’ produk-produk ternama keluaran syarikat bukan Islam?

Fenomena yang berlaku ini tidak dapat menjejaskan produk yang telah sedia ada dan kukuh di pasaran. Dari segi penjenamaan, ia memakan masa yang lama untuk sesuatu jenama kecil itu dikenali dan diterima pengguna. Mereka (usahawan) adalah kecil dan kita (pengguna) perlu bantu mereka untuk memajukan industri kecil tersebut. Usahawan kecil ini tidak mengganggu pun syarikat-syarikat besar yang telah dikenali dan kukuh dalam pasaran. Jika mereka (syarikat besar) kuasa membeli sehingga 10 peratus sekali pun, ia tidak akan menjejaskan produk mereka. Tidak salah rasanya jika syarikat-syarikat besar ini berkongsi sedikit pasaran mereka dengan bersaing secara sihat dengan para usahawan kecil ini.

S6 Adakah orang Melayu di negara ini mempunyai kuasa membeli yang besar? Jika benar adakah kempen seperti ini wajar dilakukan?

Jika dilihat pada populasi penduduk di Malaysia, 70 peratus adalah masyarakat Melayu atau bumiputera, Cina (23 peratus), India (tujuh peratus) dan lain-lain (satu peratus). Namun pendapatan kita (Melayu) kecil, sekali gus ia akan mempengaruhi perbelanjaan untuk membeli. Bagaimanapun, kuasa membeli orang Melayu besar memandangkan mereka merupakan penduduk majoriti di negara ini. Kuasa membeli seseorang ini dilihat pada kemampuan individu tersebut atau keseluruhan etnik itu. Secara kolektif, kuasa membeli orang Melayu besar disebabkan oleh kuasa membeli yang ramai. Namun, suka saya ingatkan supaya seseorang itu tidak berbelanja melebihi pendapatan walaupun mempunyai kuasa berbelanja yang besar.

S7 Apakah harapan Dr. terhadap isu yang berlaku ini?

Saya berharap agar kita semua dapat membantu para usahawan kecil untuk mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di Malaysia supaya dapat menjadi sebuah negara yang mana perpaduan nasionalnya sangat utuh. Pada masa sama, saya juga berharap agar jurang ekonomi antara kaum dapat dielakkan agar masyarakat dapat hidup dalam sebuah negara majmuk. Sokongan dan kempen daripada kerajaan juga sangat penting, selain perlu mendapat sokongan daripada pengguna sendiri. Elak perasaan iri hati sesama sendiri kerana masing-masing akan mendapat manfaatnya.

Wawancara ini pernah disiarkan dalam akhbar Kosmo! Ahad pada 8 September 2019