‘Kesungguhan’ Muhammad Syafiq menjadi titik tanda mendapat pekerjaan sebelum bergraduasi

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja-Pingat Jaya Cemerlang di Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2018, Muhammad Syafiq Suhaimi merupakan seorang yang amat gemarkan cabaran. Semasa pengajian, beliau tidak melepaskan peluang menimba pengalaman menjalankan pelbagai aktiviti luar kuliah serta bergiat aktif dengan menyertai pertandingan dan aktiviti sukarelawan.

Berasal dari Rawang, Selangor, Muhammad Syafiq berkongsi pengalamannya mengutip pelbagai pengalaman bekerja dalam tempoh menjelangnya hari bersejarah yang ditunggu-tunggu iaitu Majlis Konvokesyen. Baginya, waktu terluang itu seharusnya digunakan sebaiknya supaya dapat merasai pengalaman berbeza sebelum menempuh dunia pekerjaan yang sebenar.

‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Berkat kesungguhan, beliau telah mendapat pekerjaannya kini sebagai Eksekutif Undang-Undang di MISC Maritime Services Sdn Bhd yang bertapak di Kuala Lumpur sebulan sebelum tibanya Majlis Konvokesyen. Beliau merupakan antara Alumni USIM yang wajar dijadikan contoh. Justeru, mari ikuti temu bual yang disediakan.

Menamatkan pengajian dengan memegang segulung Ijazah adalah tiket untuk graduan itu membuat pilihan samada untuk meyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau menimba pengalaman kerja untuk ke peringkat seterusnya. Begitulah bagi alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Syafiq Suhaimi, yang berasal dari Rawang, Selangor ini. Dalam tempoh sementara menunggu hari diraikan pada Majlis Konvokesyen, beliau telah mencari peluang kerja untuk menimba pengalaman dan mengisi masa terluangnya.

Beliau merupakan seorang yang suka mencabar diri dan mengambil peluang untuk menimba pengalaman dengan bergiat aktif dengan menyertai pertandingan dan aktiviti sukarelawan sejak zaman universiti lagi. Tidak hairanlah beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja- Pingat Jaya Cemerlang pada Majlis Konvokesyen ke 16 USIM.

Kini, beliau menyambung kerjaya dan berkhidmat sebagai Eksekutif Undang-Undang di MISC Maritime Services Sdn Bhd yang bertapak di Kuala Lumpur.

S1 Kongsikan latar belakang saudara

Saya merupakan anak kedua dari tiga adik beradik dan dilahirkan di teratak nenda, di Kampung Felda Ayer Hitam, Kluang, Johor pada tanggal 14 Julai 1994. Sejak kecil, saya menetap bersama keluarga di Rawang, Selangor. Saya mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Rawang dan Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun, Rawang kemudian menyambung persekolahan peringkat menengah di Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya, Selangor.

Setelah tamat pendidikan menengah, saya meneruskan pengajian di Tamhidi Syariah dan Undang-Undang USIM dan seterusnya Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU).

Ketika mengikuti pengajian ijazah sarjana muda, saya juga mengambil peluang untuk mendapatkan Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie secara separuh masa di USIM untuk melayakkan memohon pentauliahan peguam syarie.

S2 Siapa yang menjadi pendorong kejayaan?

Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada ibu bapa dan keluarga yang sentiasa menyokong saya dalam semua bidang yang saya ceburi. Merekalah yang sentiasa mengambil berat tentang prestasi belajar dan memberi galakan untuk saya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran agar saya dapat menggembirakan dan membanggakan mereka selalu.

Apa-apa pun, semuanya berbalik kepada diri sendiri. Apakah matlamat yang kita nak kejar sewaktu pembelajaran kita di universiti? Seharusnya kita garap semua peluang yang terhidang di depan mata.

S3 Penyertaan dalam debat Bahasa Arab. Bagaimana menyertai, adakah kerana minat atau dorongan rakan-rakan?

Penyertaan saya dalam debat Bahasa Arab hanyalah merupakan satu percubaan pada mulanya, kerana selama ini semasa zaman persekolahan, saya aktif dalam debat Bahasa Melayu. Namun, siapa sangka, percubaan kali pertama saya itulah yang menjadi titik tolak kepada saya untuk bergiat aktif dalam arena debat Bahasa Arab.

Ketika penglibatan saya dalam kelab debat, senior dan ahli debat Bahasa Arab termasuk jurulatih banyak memberi sokongan, sebab ramai dalam kalangan mereka yang bagus dalam banyak bidang dan apa yang saya lihat mereka sentiasa seimbang akademik dan kemahiran-kemahiran yang lain.

Pensyarah-pensyarah jugak banyak menyokong aktiviti saya. Mereka sentiasa menghargai pencapaian pelajar. Hal ini sedikit sebanyak membantu saya untuk sentiasa mengejar keseimbangan dalam segenap aspek yang saya ceburi.

Selain itu, kawan-kawan yang banyak membantu ketika pengkuliahan. Kadang-kadang saya tak datang kelas sebab menyertai pertandingan dan rakan-rakan tidak lokek untuk berkongsi apa yang dipelajari.

S4 Kongsikan kepada pembaca, antara pertandingan yang pernah disertai

1) International Universities Arabic Debating Championhship di Doha, Qatar pada tahun 2017 telah mendapat Naib Johan kategori bukan penutur jati Bahasa Arab

2) Pertandingan Debat Bahasa Arab Ihtifal IPT ASEAN di USIM telah mendapat Johan 2016 dan Johan 2017

3) Pertandingan Pidato DwiBahasa (Bahasa Inggeris dan Arab) Ihtifal IPT ASEAN di USIM telah mendapat Johan 2018

S5 Kongsikan pengalaman mencari kerja selepas pengajian sebelum konvokesyen

Sebenarnya, mencari kerja bukanlah sesuatu perkara yang mudah apatah lagi dalam zaman sekarang di mana ramai graduan bersaing dan berebut mencari peluang pekerjaan dan hanya yang terbaik yang akan terpilih. Oleh itu, saya sudah mula membuat permohonan kerja sejak semester akhir saya di USIM.

Saya minta pandangan senior-senior saya untuk merangka resume. Hampir setiap hari saya membuat permohonan pekerjaan di laman-laman sesawang tertentu dan perkara ini diteruskan setelah tamat pengajian saya di USIM pada bulan Jun 2018.

Boleh kata lebih dari 100 permohonan telah saya buat. Namun saya tidak pernah patah semangat dan terus mencuba. Kebanyakan pekerjaan sekarang ini memerlukan pemohon yang sudah mempunyai pengalaman, namun saya tetap mencuba nasib.

Akhirnya, setelah permohonan demi permohonan dibuat, saya dipanggil oleh syarikat LexisNexis Sdn Bhd, sebuat syarikat yang menyediakan kandungan dan rujukan undang-undang secara atas talian yang dirujuk oleh pelajar undang-undang, peguam, ahli-ahli akademik dan sebagainya. Saya ditawarkan jawatan Legal Editor berstatus kontrak. Dalam dua bulan bekerja disitu, saya dipanggil temu duga oleh syarikat yang saya bekerja sekarang dan setelah melalui beberapa peringkat saringan dan temu duga, bersaing dengan beberapa calon yang lain, Alhamdulillah saya terpilih untuk jawatan berstatus tetap tersebut iaitu Eksekutif Undang-Undang.

S6 Bagaimana saudara melihat keperluan memanfaatkan masa selepas pengajian

Bagi saya, tempoh masa antara selepas tamat pengajian dan waktu konvokesyen adalah sangat penting. Ianya bukanlah masa untuk bersenang lenang tetapi masa yang sangat berharga untuk kita mengambil semua peluang yang ada.

Tempoh inilah yang amat penting untuk kita menyiapkan diri sebelum melangkah ke alam kerjaya yang tentunya lebih mencabar. Waktu-waktu seperti inilah kita perlu untuk menyiapkan dokumen-dokumen peribadi seperti sijil-sijil, resume, transkrip sementara dan sebagainya agar mudah mencari kerja.

Tidak lupa juga, waktu-waktu lapang ketika ini yang perlu untuk mahasiswa manfaatkan untuk pergi ke pameran-pameran kerjaya kerana mungkin rezeki kita diambil bekerja ada di sana. Oleh itu, amatlah diharapkan agar masa terluang sebelum meraikan hari konvokesyen kita tidak dipersiakan sebaliknya usahalah untuk mencari peluang-peluang pekerjaan yang ada walaupun sementara.

S7 Apakah impian dan cita-cita saudara?

Banyak impian saya. Antaranya ialah membuka firma guaman sendiri andai kursus ijazah saya diberi pengiktirafan penuh oleh LPQB. Saya ingin menjadi seorang yang mahir dalam bidang undang-undang menjurus kepada undang-undang korporat.