Dalam usaha mencipta suasana pembelajaran subjek Sains dan Matematik sesuatu yang menyeronokkan, pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Dr. Muhammad Zamir Othman dan kumpulan menghasilkan inovasi makmal yang dinamakan Lab in a Box (FaST LaB). Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa STEM/STREAM menyedari peranan yang harus diperkasakan adalah merapatkan jurang antara universiti dan sekolah serta masyarakat bagi menimbulkan minat pelajar sekolah kepada bidang Sains, Teknologi, Nilai Keagamaan, Kejuruteraan, Nilai Kesenian dan Matematik (STREAM).

Pelbagai aktiviti guna tangan direka pada peringkat awal membawa kepada penghasilan kit Sains yang boleh diguna pakai oleh ibu bapa dan guru untuk melakukan eksperimen Sains sama ada di rumah mahupun sekolah. Modul-modul yang dicipta turut terdapat dalam silibus pembelajaran di sekolah memberi peluang pelajar untuk melakukan eksplorasi Sains menggunakan bahan kimia dan alatan yang selamat.

Q1 Pengenalan mengenai STREAM di USIM

STREAM merupakan inisiatif Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk membudayakan ilmu Sains dan Teknologi mengikut acuan sendiri. STREAM membawa makna Sains, Teknologi, Nilai Keagamaan, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik. Integrasi nilai keagamaan dalam penemuan-penemuan Sains bukanlah untuk memberikan nama agama bagi penemuan tersebut namun adalah untuk memastikan penemuan-penemuan yang diterokai sentiasa digunakan bagi tujuan kemaslahatan Ummah dan bukannya untuk kepentingan peribadi yang mampu membawa kepada kesan-kesan negatif seperti monopoli, peperangan mahupun kehancuran.

Secara mudah apa-apa penemuan Sains dan Teknologi yang memberi kebaikan kepada Ummah boleh dikategorikan sebagai aktiviti STREAM. Elemen seni atau kesenian memainkan peranan penting kerana seni bukanlah semata-mata diertikan sebagai muzik, tarian mahupun lukisan tetapi seni untuk boleh juga diterjemahkan dalam seni komunikasi dan dalam sesetengah eksperimen Sains, perubahan warna, penghasilan objek baru daripada larutan dan udara boleh juga dipersembahkan dalam bentuk seni persembahan.

Q2 Pandangan Dr mengenai STREAM

Ianya merupakan inisiatif yang baik kerana mendukung terus misi USIM untuk mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli dengan tidak mengenepikan unsur Naqli dalam setiap penemuan Aqli, ini memberikan ruang untuk manusia sentiasa berkarya dalam ruang lingkup syariat Islam bagi mendukung intipati Maqasid Syariah untuk memelihara Agama, Nyawa, Keturunan, Akal dan Harta Benda.

Tambahan pula, ianya merupakan satu mekanisma bagi memastikan minat dan kecenderungan terhadap Sains dan Teknologi sentiasa diperkasakan. Ini kerana minat para pelajar terhadap jurusan Sains semakin berkurangan dan berada di tahap yang membimbangkan. Pengurangan ini akan memberikan kesan terhadap kerjaya berkaitan Sains dan Teknologi yang memberikan impak yang besar dalam arus modenisasi lagi-lagi ingin memastikan Malaysia mampu bergelar negara maju di masa hadapan.

Q3 Langkah pertama memperkenalkan STREAM

Tugasan pertama sewaktu dilantik adalah untuk bekerjasama bersama-sama National STEM Movement dalam menjayakan karnival STEM peringkat Negeri Sembilan. Pada 15 Julai 2017, N9STEM @ Nilai berjaya dilaksanakan dengan hampir 3000 orang pengujung datang bagi mendalami ilmu berkaitan Sains & Teknologi. Pelbagai aktiviti dilaksanakan dalam bentuk guna tangan, demonstrasi dan bengkel serta seminar bagi meningkatkan kesedaran dan minat komuniti setempat terhadap Sains dan Teknologi.

Q4 Usaha bersama pasukan dalam membangunkan STREAM

Sewaktu permulaan kerjaya saya di USIM, saya sudah bertekad untuk kembali ke sekolah. Sewaktu saya masih lagi bekerja di United Kingdom, saya melihat tiada jurang yang jelas antara pihak sekolah dan universiti. Namun di Malaysia, universiti sering kali dikaitkan dengan menara gading malangnya analogi ini bukan sekadar memberikan impak positif, malah ianya dilihat universiti hanya sekadar satu entiti yang tidak berada dekat dengan sekolah dan masyarakat.

Sewaktu diberikan tugasan melaksanakan N9STEM @ Nilai, saya melihat ianya sebagai satu peluang yang baik untuk saya memulakan jaringan bersama-sama pihak sekolah dan masyarakat setempat. Sewaktu itu, saya bersama pelajar latihan industri saya daripada UKM, Nur Atiqah Md Isa mula mengorak langkah bagi menghasilkan modul-modul guna tangan yang selamat, mudah dilaksanakan dan boleh di bawa pulang. Sewaktu Karnival N9STEM @ Nilai, hampir 1,200 aktiviti berjaya dilaksanakan merangkumi penghasilan minyak wangi, Fluffy Slime dan Bouncing Ball.

Ianya merupakan titik tolak permulaan sehingga terhasil kit-kit Sains yang diberi nama Faculty of Science and Technology Laboratory in a Box (FaST LaB) pada tahun 2018. Program jangkauan yang kami laksana bermula dengan 9 program pada Tahun 2017, melonjak kepada 50 pada Tahun 2018. Julai 2019, menjadi bulan keramat apabila program ke-100 dilaksanakan di Terengganu genap 2 tahun setelah aktiviti jangkauan ini dilaksanakan. Hampir 45,000 pelajar, guru dan masyarakat setempat disantuni selama 2 tahun FaST LaB beroperasi (sewaktu awal penubuhan dikenali dengan nama STREAM FST).

Q4 Perkembangan terkini FaST LaB

Alhamdulillah sejak penubuhan FaST LaB, hampir 30 modul dihasilkan dan 10 prototaip kit Sains diketengahkan serta 6 Kem Sains yang berjaya dilaksanakan. Kini 4 kit dikomersialkan secara aktif sama ada melalui aktiviti jangkauan atau laman sesawang.

Bermula dengan 2 orang, kini ahli FaST LaB berkembang kepada lebih daripada 5 orang pensyarah, 5 orang staf makmal dan lebih daripada 100 pelajar Sarjana Muda yang menggerakkan aktiviti jangkauan ke serata pelusuk Malaysia dan rantau Asia.

Kit-kit yang dihasilkan juga turut mendapat pengiktirafan di beberapa pertandingan inovasi peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Antaranya, pingat emas ITEX 2019, pingat emas di EduNovaC 2019, pingat emas UREKA 2018, pingat Emas dan anugerah Al-Khawarizmi IREKA 2018.

Pencapaian ini membawa kepada tertubuhnya makmal STREAM di FST. Ianya merupakan makmal pertama di Universiti Awam yang membenarkan orang awam dengan pelbagai peringkat umur untuk masuk dan melaksanakan eksperimen-eksperimen Sains. Pelawat paling muda setakat ini berumur 3 tahun. Di dalam makmal ini juga kit-kit Sains dihasilkan oleh para pelajar. Bagi memastikan Sains atau STREAM adalah inklusif dan bukannya hanya untuk golongan elit, kit-kit yang dihasilkan dijual pada harga tidak lebih daripada RM30. Kerjasama turut dijalankan bersama-sama pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menyantuni masyarakat B40 dan golongan yang tidak berkemampuan demi memastikan STREAM kekal inklusif.

Dengan itu, pada tahun 2019, FaST LaB telah berjaya menyantuni pelbagai komuniti luar bandar antaranya Komuniti Pulau di Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Perhentian, Komuniti Orang Asli di POS Legap, Sungai Siput Perak dan Komuniti Felda dan Ladang di Sekolah Kebangsaan Felda Selasih dan Sekolah Kebangsaan (T) Ladang Siliau.

Kit-kit Sains FaST LaB boleh didapati di makmal STREAM FST sendiri atau boleh layari laman sesawang www.mystreamlab.com