Syabas diucapkan buat pasukan debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)! Bertanding dalam kategori bukan penutur asal Bahasa Arab dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) memberi kejayaan baharu buat pasukan pendebat USIM.

Empat penuntut USIM iaitu Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Adam Fikry Bakru Razi (Fakulti Syariah dan Undang-undang), Siti Hamidah Hashim dan Suwaibah Mustapha (Fakulti Pengajian Bahasa Utama) telah dinobatkan sebagai johan mengalahkan pendebat University Calgary, Canada. Mereka bukan sahaja telah mengharumkan nama universiti malah Malaysia. Pasukan di bawah didikan En. Ahmad Norsyafwan Norawavi, Guru Bahasa Pusat Pengajian Teras (PPT) nyata telah mencipta kejayaan berganda apabila Muhammad Muzakkir dan Suwaibah tersenarai sebagai pendebat di ranking pertama dan kedua keseluruhan. Manakan tidak, ia secara tidak langsung merekodkan satu kejayaan besar buat USIM pada permulaan tahun 2019. Justeru, mari kenali pendebat-pendebat muda ini melalui rangkuman temu bual yang disediakan.

Q1 Menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa sebagai pasukan pendebat bukan penutur asli bahasa Arab, boleh anda ceritakan bagaimana ianya bermula?

Muzakkir : Sejak dari sekolah menengah lagi saya terlibat dalam debat, tetapi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Oleh kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu, saya sertai debat Bahasa Arab Intertamhidi USIM dan bermula dari itu, saya mula menyertai debat Naib Canselor Bahasa Arab seterusnya saya diserap ke kelab debat Bahasa Arab USIM dan mewakili USIM di beberapa pertandingan seperti Pertandingan Ihtifal ASEAN, Debat Mahrajan UM dan Debat Maalhijrah UIA.

Adam : Saya terlibat dalam debat Bahasa Arab sejak tahun satu di USIM yang mana permulaannya sebagai pemain simpanan dalam Pertandingan Ihtifal ASEAN. Sejak itu, saya kerap menyertai pelbagai pertandingan debat Bahasa Arab kerana menyedari ia satu medium utama untuk mengasah kemahiran berfikir dan meningkatkan kosa kata dalam Bahasa Arab.

Hamidah: Saya mula menyertai debat Bahasa Arab semasa di sekolah menengah, tingkatan lima. Berkat dorongan guru-guru Bahasa Arab semasa di sekolah menengah, sedikit sebanyak telah memberi semangat untuk saya terus terlibat dalam debat secara aktif.

Suwaibah : Saya terlibat dalam debat Bahasa Arab sejak pengajian diploma di Unisza. Secara kebetulan, pasukan debat USIM ini juga pernah menjadi pasukan lawan sewaktu sama-sama bertanding ketika saya menuntut di Unisza. Perancangan yang indah diatur oleh Allah, kali ini dapat bersama-sama dengan rakan sepasukan yang hebat untuk mencipta kejayaan lebih baik buat USIM.

Q2 Adakah sukar menyertai debat Bahasa Arab? Kongsikan pengalaman dan bagaimana anda mengatasinya.

Muzakkir : Sejujurnya debat Bahasa Arab ni sukar juga tetapi disebabkan minat dan dorongan dari orang yang berpengalaman, semuanya dipermudahkan. Bagi saya, kesukaran itu merupakan satu cabaran yang perlu saya hadapi untuk mempertingkatkan kemampuan menguasai selain Bahasa Melayu untuk pada masa depan.

Adam : Penyertaan dalam debat Bahasa Arab ini ada kesukarannya kerana komitmen yang tinggi diperlukan dalam menjalani latihan sehari-hari. Kadang kala menghadapi tekanan apabila berhadapan dengan pihak lawan yang berbakat dari universiti lain, namun ia tidak pernah mematahkan semangat namun melonjakkan lebih keinginan saya untuk tampil hebat juga.

Hamidah : Ya, sudah tentu ada kesukarannya. Sebelum ini saya tidak pernah memenangi apa-apa pertandingan sehinggalah pada tahun 2018, telah mencipta kejayaan semasa pertandingan di Indonesia. Kesukaran itu diatasi dengan memperbanyakkan latihan sebagai persiapan sebelum bertanding. Pengorbanan masa yang perlu berjaga malam 2-3 hari sebelum pertandingan disusuli dengan jadual kelas yang padat menuntut kerjasama pasukan dan pembahagian jadual kuliah secara bijak.

Suwaibah : Pada awal penglibatan saya dalam debat, ada kesukarannya. Namun, tetap menguatkan semangat disebabkan keinginan tinggi untuk mendalami lebih lagi keindahan Bahasa Arab. Bagi saya, elemen pembelajaran untuk mempertingkatkan kemahiran berbahasa Arab merangkumi  latihan  membaca, menulis, mendengar dan berhujah dalam pertandingan debat Bahasa Arab secara konsisten.

Q3 Kongsikan kata-kata inspirasi dan galakan buat rakan yang lain supaya tidak gentar dengan cabaran dalam usaha mendalami Bahasa Arab.

Muzakkir : Jangan takut berbahasa Arab. Jangan juga malu jika salah nahu saraf kerana pada saya hanya ada satu cara je untuk cemerlang nahu saraf iaitu dengan bercakap atau kerap berkomunikasi. Sedikit tips dari saya untuk kosa kata, jika ada satu perkataan yang kita tidak tahu, segera buat carian dalam kamus Bahasa Arab dan kerap membina ayat menggunakan perkataan tersebut.

Adam : Saya selalu menerapkan nilai mahu belajar dan banyakkan bertanya jika tidak pasti dalam menggunakan ayat dalam pertuturan. Apa yang penting adalah, sentiasa berusaha dalam belajar Bahasa Arab tanpa hiraukan kesukarannya kerana apabila kita berhenti belajar, itu bermakna kita gagal mencuba.

Hamidah : Sekiranya rakan-rakan minat untuk mendalami Bahasa Arab, sertai kelab debat dan perbanyakkan berkomunikasi bersama rakan kerana bagi saya pembelajaran di dalam kelas belum memadai untuk kita bertutur lancar dalam Bahasa Arab. Selain itu, kita jangan mudah jemu dalam usaha untuk perbaiki kemahiran berbahasa Arab.

Suwaibah : Buat rakan-rakan, kemenangan ini adalah kemenangan kita bersama, justeru jika ada minat untuk mendalami Bahasa Arab, teruskanlah. Keazaman dan tekad perlu disemat dalam memajukan diri walaupun ianya di luar kebiasaanya. “Bercita-citalah setinggi langit, sekalipun gagal dan jatuh ke awan, namun masih tinggi”.

IUADC merupakan acara dwi tahunan merupakan edisi kelima sejak mula dianjurkan pada 2011. Pertandingan tersebut telah disertai lebih 100 buah pasukan debat dari seluruh dunia yang berlangsung di Qatar National Convention Center, Doha.