Mengambil cakna akan isu pasca Covid-19 yang terkesan secara global mendorong pasukan PPE Disposal Taskforce USIM yang diketuai oleh Dr. Nuruliza Roslan, pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan memperkenalkan “Kempen Pelupusan Pelitup Muka Secara Selamat dan Betul” dengan #USIMjagasemua. Ikuti temu bual bersama beliau selaku Pengarah Program, yang juga merupakan Timbalan Pengarah Institut Sains Islam (ISI).

S1 Bagaimana tercetusnya idea kempen #USIMjagasemua?

Ideanya bermula apabila melihat keadaan semasa dunia kini menghadapi pandemik Covid-19, dan melihat terlalu banyak pembuangan PPE terpakai di merata-rata tempat. Kami menyedari pembelian dan penggunaan PPE meningkat secara mendadak di kalangan orang awam di seluruh dunia termasuk Malaysia menandakan bahawa masyarakat dunia peka terhadap penjagaan kesihatan diri menghadapi Covid-19. Walaubagaimanapun, langkah ini juga boleh meningkatkan pembuangan PPE yang terpakai.

Apa yang merisaukan adalah terdapat laporan tentang pembuangan PPE terpakai oleh orang awam tidak mengikut cara pembuangan yang selamat seperti yang telah disyorkan. Ini adalah satu kebimbangan yang besar kerana impaknya dari segi kesihatan dan keselamatan manusia sejagat serta mencemar alam sekitar seperti yang telah dilaporkan bahawa lambakan PPE terpakai ini telah dijumpai di perairan laut dalam.

Atas kebimbangan ini, pasukan task force USIM telah mengenalpasti beberapa isu utama daripada masalah ini dan mengambil beberapa inisiatif melalui pendekatan secara glokal. Kami memperkenalkan kempen #USIMjagasemua di peringkat Universiti pada peringkat awal bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga USIM seterusnya berhasrat menyebarluaskan kepada masyarakat setempat untuk sama-sama mengamalkan sikap prihatin sewajarnya.

S2 Bagaimana proses memperkenalkan kempen #USIMjagasemua dilaksanakan?

Sebagai pengenalan awal, kami merancang untuk menjalankan program ini melalui kerjasama University Social Responsibility (USR) dengan pihak sekolah bermula di Negeri Sembilan dan industri berkaitan. Satu perbincangan bersama sekolah telah pun di mulakan dengan Sekolah Menengah Agama Nilai. Manakala pilot program dilaksanakan di kampus USIM dengan menyediakan SOP tong sampah khas untuk pembuangan pelitup muka terpakai.

S3 Siapakah ahli pasukan yang terlibat?

Ahli pasukan ini daripada beberapa penyelidik USIM daripada berbagai bidang yang merangkumi bidang kesihatan, alam sekitar, perundangan, ekonomi dan juga fiqh. Ahli lain yang terlibat adalah Dr. Wan Shahida Wan Sulaiman, Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati, Prof. Madya Dr Nazefah Abd Hamid, Prof. Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani, Prof. Madya Dr. Azlina Mokhtar dan Prof. Madya Dr. Mohd Radzniwan A Rashid, pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; Prof. Dr. Norita Md Norwawi, Prof. Madya Dr. Mohd Azman Hashim@Ismail, Dr.. Muhammad Zamir Othman dari Fakulti Sains dan Teknologi; Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar, LAr. Dr. Noor Hayati Ismail, pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Dr Faszly Rahim dari Institut Sains Islam, Dr. Ahmad Sanusi Azmi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan En. Wan Mohd Hilmi Wan Adam dari Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Dr Mohd Shukor Harun, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Dr Nik Mohd Shafikudin Md Tajuddin, Pusat Kesihatan Universiti manakala Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Mohamad Hamiruce Marhaban pula sebagai penasihat.

 

S4 Kongsikan informasi tentang pelitup muka pakai buang.

Pada masa kini, masyarakat memakai pelitup muka yang paling biasa. Pelitup muka ini mempunyai tiga lapisan, satu lapisan melt blown yang berfungsi sebagai penapis dan diletakkan di antara dua lapisan bahan gentian tanpa tenun yang membolehkan zarah-zarah melekat pada gentian tersebut. Pernafasan tidak akan terganggu kerana udara dapat melepasi lapisan tersebut dengan mudah. Manakala lapisan luar adalah berwarna biru atau hijau muda yang lembut seperti kapas. Inilah yang menjadi masalah terhadap alam sekitar kerana pelitup muka ini diperbuat hasil gabungan polimer yang umum diketahui mengambil masa berdekad mahupun berabad lamanya untuk diuraikan.

Pelitup muka ini sepatutnya diguna pakai sekali sahaja dan terus dibuang selepas itu. Sebelum ini, penggunaan pelitup muka ini hanya terhad di makmal penyelidikan ataupun hospital dan klinik dan ia dianggap sebagai bahan buangan klinikal kerana ianya berkemungkinan membawa bahan berjangkit sama ada di lapisan luar ataupun dalam dan ianya dilupuskan oleh kontraktor bahan buangan yang khas, bukannya oleh syarikah pengurusan alam sekitar, Alam Flora Sdn Bhd seperti kebiasaannya. Agak membimbangkan apabila terdapat laporan yang mengatakan pelitup muka ini digunakan semula oleh orang ramai. Umum perlu mengetahui bahawa mengguna semula atau mengitar semula pelitup muka ini adalah tidak digalakkan kerana pelitup muka terpakai berkemungkinan merupakan pencemaran klinikal.

Selain itu, terdapat permintaan yang tinggi untuk menghasilkan pelitup muka yang boleh diguna semula, biasanya diperbuat daripada kain kapas dan boleh disediakan bersama lapisan untuk penapis ataupun tidak. Pelitup muka kain kapas yang ditambah dengan helaian penapis dapat memberikan perlindungan yang lebih baik kerana tanpa penapis, kain kapas hanya memberikan tahap perlindungan yang paling rendah terhadap virus atau mikrob. Namun begitu, ianya tetap lebih baik daripada langsung tidak memakai pelitup muka, kerana sekurang-kurangnya kain kapas dapat memberikan sedikit perlindungan daripada titisan yang tercemar. Apa yang baik tentang pelitup muka kain kapas ini adalah ianya boleh dibasmi kuman secara berkali-kali dan berupaya untuk mereput dan diproses semula (terbiodegradasikan). Pelitup muka ini mesti mematuhi panduan yang telah ditetapkan oleh WHO dan ianya perlu dibasuh selepas setiap kali dipakai.

S5 Justeru, bagaimana cara pelitup muka sewajarnya dilupuskan?

Menurut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia, yang diberikan berdasarkan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita sepatutnya melipat pelitup muka tersebut dan membungkusnya di dalam plastik kecil atau tisu dan membuangnya di dalam tong sampah yang bertutup. Garis panduan ini bertujuan untuk mengurangkan risiko masalah kesihatan kepada pekerja yang memungut sampah sekiranya pelitup muka ini dibuang secara terbuka bersama-sama sampah yang lain.

S6 Saranan dalam usaha menjayakan kempen #USIMjagasemua.

Usaha mendidik masyarakat tentang cara yang betul untuk membuang pelitup muka ini boleh dilakukan segera melalui kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, contohnya pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan yang berkaitan dan syarikat-syarikat pengurusan sisa buangan kerana pembuangan pelitup muka meningkat selepas Covid-19.

Rasulullah SWT pernah bersabda, “Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya.”

Diharapkan usaha kecil ini mendapat sokongan dari semua pihak supaya dapat memberi manfaat kepada warga USIM dan masyarakat setempat secara tidak langsung meningkatkan kesedaran warga USIM penjagaan kesihatan dan juga alam sekitar bagi memastikan kesejahteraan awam dan negara.