Yusrina Yusof, 22 tahun dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh AKSIS 18/19 di Majlis Anugerah Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor pada 11 Disember lalu. Yusrina menerima Anugerah Tokoh Pemimpin Siswa dan Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan memperlihatkan penglibatan pelajar ini suatu yang amat membanggakan. Beliau merupakan pelajar tahun 4 dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) amat aktif sekali menyertai pelbagai aktiviti melibatkan keusahawanan. Menceburi bidang yang berbeza membuktikan ianya bukanlah suatu yang mustahil untuk mencipta kejayaan baharu di luar bidang pengajiannya. Ikuti temu bual yang disediakan.

Pelajar Tahun 4, Program Fizik Gunaan dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dinobat sebagai Tokoh AKSIS 18/19 di Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor. Yusrina Yusof, 22 tahun menganggap pengiktirafan tersebut sebagai satu timbal balas paling bermakna dalam hidupnya sepanjang pengajiannya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Q1 Ceritakan kemenangan saudari di AKSIS.

Saya tidak menyangka menerima tiga anugerah pada AKSIS 18/19. Pada awalnya, saya hanya mensasarkan anugerah keusahawanan sahaja namun, dua anugerah lain ini saya kira ia menjadi batu loncatan buat saya untuk lebih yakin dan bersemangat bagi memajukan diri dan berbakti semula kepada USIM.

Q2 Kongsikan pengalaman yang saudari peroleh dalam bidang keusahawanan yang diceburi.

Program keusahawanan pertama yang saya sertai di USIM adalah Latihan Keusahawanan Islam Siswa (LAKIS 7.0) anjuran Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU). Program tersebut memberi pendedahan peserta kepada pengurusan syarikat dan kewangan. Ia sangat membantu saya yang sudah lama berjinak-jinak dalam dunia perniagaan tetapi kurangnya pendedahan pengurusan perniagaan.

Pada November tahun 2017, saya pernah menghadiri satu temuduga untuk menyertai Program E-Commerce di Alibaba Business School yang berlangsung pada Januari 2018. Pada bulan November itu juga, saya telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Harapan di Anugerah Keusahawanan USIM 2017.
Pada Januari 2018, saya telah dipilih antara 30 pelajar universiti awam Malaysia untuk ke Alibaba Business School selepas ditapis oleh USIM, KPM dan Alibaba Group. Di sana, saya telah mempelajari cara untuk meluaskan perniagaan menggunakan platform e-commerce.

Q3 Bagaimana saudari membahagikan masa antara pelajaran dengan aktiviti keusahawanan yang dijalankan?

Saya menjalankan bisnes secara santai. Pada masa lapang saya terus akan terus mempromosikan produk saya di media sosial. Pada hujung minggu atau waktu lapang dan tiada kuliah, saya akan ke kilang kain untuk berurusan dengan tukang jahit untuk menyiapkan stok inner baju labuh. Pada masa waktu saya belajar, saya akan fokus belajar, waktu saya berniaga, saya akan fokus berniaga. Pada setiap bulan pula saya akan membuka booth di pelbagai karnival samada di dalam USIM dan luar USIM. Saya menyedari perlunya saya membahagikan masa dengan bijak supaya perancangan berjalan lancar.

Q4 Menerima anugerah Tokoh Pemimpin Siswa dalam AKSIS. Kongsikan bagaimana pendekatan saudari dalam memimpin rakan sepasukan.

Pengalaman ketika saya menguruskan pasukan ketika bergiat aktif dalam Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM) dan Koperasi Siswa USIM (KOSISWA) sangat berbeza. Ketika dalam SKM, kami bekerjasama untuk melaksanakan pelbagai jenis program kesukarelawanan. Kami perlu menghadapi pelbagai jenis cabaran dan halangan untuk melangsungkan program. Ketika di dalam KOSISWA, saya merupakan ketua projek courier siswa (coursiswa). Saya perlu mengawal emosi ketika menguruskan staf-staf dan segala masalah yang berlaku di pejabat. Emosi sangat terganggu apabila banyak masalah timbul ketika minggu pembelajaran saya sangat padat dengan perbentangan, kuiz, dan assignment. Saya juga banyak kali hampir berputus asa untuk mengusahakan courier siswa ini tapi apabila memikirkan pembaharuan yang akan saya bawa ke dalam USIM ini, saya tetap kuatkan semangat. Disebabkan pelbagai cabaran yang dihadapi, saya bertekad untuk melatih staf saya mahir dalam pelbagai perkara supaya tidak menimbulkan sebarang persoalan atau masalah ketika saya tiada di pejabat. Saya menggunakan pendekatan ”sebagai kawan” dengan staf-staf coursiswa yang terdiri daripada orang luar dan pelajar USIM sebagai pekerja separuh masa. Kami juga kerap meluangkan masa bersama untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain supaya lebih selesa untuk berkerjasama membangunkan coursiswa.

Q5 Bertitik tolak dari kejayaan di AKSIS, apakah harapan saudari akan datang?

Antara impian saya ialah untuk mencapai ”financial freedom” sebelum saya umur 30 dan mencapai 1 Juta pertama sebelum umur 25 tahun. Pada Januari 2020, saya akan menubuhkan butik pertama saya menggunakan geran yang saya menangi dari Kotex She Can Fund.

Pada perkembangan semasa ini saya berpeluang membantu mahasiswa USIM untuk memulakan perniagaan ketika masih belajar di universiti melalui pendedahan menjadi agen atau dropship Rynaz Attire.

Q6 Secara peribadi kongsikan pandangan saudari tentang kampus ini sebagai salah seorang penuntut di USIM.

Saya rasa sangat bertuah kerana terpilih menyambung pengajian di USIM. USIM merupakan gedung ilmu yang telah membentuk peribadi saya dan membina masa depan saya.

Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran kerana di USIM saya kerap terlibat aktif dalam pelbagai program dan persatuan di universiti yang membuatkan saya lebih yakin untuk terkehadapan, meluaskan networking dan lain-lain lagi.

Pada saya pelbagai peluang yang universiti telah tawarkan, namun ia bergantung kepada pelajar USIM itu sendiri untuk mengambil peluang atau tidak. Saya telah memperoleh sijil kemahiran menjahit dibawah Sijil Kemahiran Malaysia pada semester 3 dan Sijil Bakeri dibawah Kolej Komuniti Ulu Langat ketika berada di semester lima. Kedua-dua sijil ini saya perolehi melalui program yang dianjurkan oleh pusat Keusahawanan USIM (PKUU).

Q7 Berikan kata-kata motivasi buat inspirasi rakan pelajar yang lain.

Kita sedia maklum, dunia luar dan alam pekerjaan adalah berbeza dengan alam pengajian di universiti. Saingan yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan seharusnya diambil oleh setiap mahasiswa USIM untuk menjadi “graduan luar biasa” hasil produk universiti yang hebat. Amat sia-sia sekiranya selama 5 tahun di universiti kita tidak mahu mencuba meneroka pelbagai benda baru bagi meningkatkan soft skill untuk memajukan diri. Pelajaran di dalam kelas hanyalah teori yang sangat berbeza untuk diaplikasikan di alam pekerjaan.

Selain itu, banggakanlah ibubapa. Waktu muda ini kita masih di bawah jagaan ibubapa, justeru buktikanlah kasih sayang dan penghargaan kita pada mereka dengan mncipta pelbagai kejayaan. Ceriakanlah mereka dengan berita yang menggembirakan selain menanam keazama untuk menjadi anak yang baik dan manusia yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara hasil didikan kedua orang tua kita.