NILAI, 21 Disember 2017 –  Farah Nabilah Abdul Rahman dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Wanita Terbaik CEMCA bagi tahun 2017. Anugerah ini diberikan kepada pelajar terbaik keseluruhan yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang di universiti dan peringkat antarabangsa. Farah menerima cek bernilai USD 600 sumbangan penaja iaitu Commonwealth Educational Media Centre for Asia (CEMCA). Anugerah ini merupakan hasil memorandum persefahaman antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan CEMCA pada Disember 2015 yang diterajui oleh Pusat Pembelajaran Akses Terbuka Global, Teknologi Imersif dan Jaminan Kualiti (GOAL-ITQAN).

Objektif anugerah ini adalah untuk memberi inspirasi kepada pelajar, khususnya pelajar wanita lain dalam meneruskan kecemerlangan secara holistik, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam aktiviti sampingan yang dianjurkan di USIM, di peringkat serantau atau peringkat antarabangsa. Anugerah yang bertemakan ‘women empowerment’ ini amat bertepatan dengan model GIINA yang ditekankan oleh USIM, dalam menyepadukan elemen akademik, sahsiah, dan berkeusahawanan.

Anugerah khas bagi pelajar wanita ini adalah terbuka kepada calon di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Pada edisi sulung tahun lalu, anugerah ini dikhaskan buat pelajar USIM sahaja, namun untuk tahun 2017 penganjur membuka pencalonan kepada pelajar universiti seluruh negara. Seramai 60 calon dari Universiti Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta telah menghantar penyertaan kepada pihak USIM selaku sekretariat anugerah ini.

Kriteria pemilihan merangkumi 4 kluster utama, iaitu kecemerlangan akademik, keterlibatan dalam aktiviti akademik, keterlibatan dalam aktiviti ko-kurikulum, serta keterlibatan atau idea mengenai women empowerment.

Kecemerlangan akademik diambil berdasarkan kiraan Purata Nilai Gred Kumulatif/CGPA yang membawa 10% markah maksimum. Markah bagi aktiviti akademik pula diambil dari keterlibatan dalam program persidangan, bengkel akademik, kolokium atau seminar dan membawa 40% markah maksimum. Keterlibatan dalam aktiviti kebudayaan, sukan, kesenian, atau keagamaan pula membawa 30% markah maksimum, manakala inisiatif memperkasa wanita/women empowerment membawa 20% markah maksimum. Pemarkahan bagi setiap kriteria adalah secara berskala bergantung kepada tahap penglibatan calon dalam satu-satu aktiviti.

“Farah Nabilah merupakan graduan bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan dengan Kepujian dalam Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau telah mewakili UIAM dan Malaysia ke pelbagai negara seperti Singapura dan Bangladesh untuk misi kemanusiaan dan kesukarelawanan. Beliau adalah wakil tunggal Malaysia ke United Nations Security Council in Singapore Model of United Nations 2015 dan telah memenangi Honorable Mention Award as Delegate of Kuwait in Disarment and International Security Council (DISEC) of Taylor’s Model of United Nations 2016. Kecemerlangan beliau turut menyerlah di laman sendiri apabila Farah turut menerima Anugerah Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar 2016 dan Anugerah Tokoh Siswa 2016 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.” ujar Dr. Nurkhamimi Zainuddin. Timbalan Pengarah di GOAL-ITQAN USIM.

Anugerah ini disampaikan semasa Majlis Makan Malam CEMCA Best Female Achiever Award 2017 yang dianjurkan oleh Pusat Pembelajaran Akses Terbuka Global, Teknologi Imersif dan Jaminan Kualiti (GOAL-ITQAN) USIM dan telah disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) USIM.

Disediakan oleh:

Dr. Nurkhamimi Zainuddin
GOAL-ITQAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204