NILAI, 1 MAC 2016 – Perkongsian ilmu mengenai kepentingan vaksin HPV anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan bersama Universiti Teknologi Mara berjaya menghimpunkan seramai 70 guru-guru kaunseling sekolah menengah sekitar Daerah Port Dickson, Seremban dan Tampin.

Seminar dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan yang bertajuk Training of Trainer Program on Human Papilloma Virus and Awareness for Cervical Cancer Prevention for Secondary School Counselor berlangsung selama empat hari ini dibahagikan kepada dua zon mengikut daerah di Negeri Sembilan.

Penganjuran seminar adalah bertujuan menyedarkan orang ramai terutama guru, pelajar dan ibu bapa mengenai kepentingan vaksin HPV dan penyebab utama kanser pangkal rahim. Melaluinya, peserta turut digalakkan mengambil vaksin HPV yang didapati kurang mendapat sambutan oleh ibu bapa dengan alasan meragui kesahihan vaksin yang diberikan oleh kerajaan secara percuma kepada pelajar tingkatan satu setiap tahun.

“Amatlah diharapkan guru-guru kaunseling dapat menyalurkan maklumat yang diperoleh sepanjang seminar kepada anak murid untuk meningkatkan kesedaran kepentingan vaksin HPV dan sejauh mana bahaya virus HPV sebagai penyebab utama penyakit kanser serviks. Di samping itu, Program ToT ini secara tidak langsung membolehkan Program Vaksinasi HPV Kebangsaan akan sentiasa mendapat kerjasama daripada para pelajar untuk mengambil vaksin HPV ini,” ucap Naib Canselor.

“Kami mencari satu individu yang mampu membantu kami dalam menyampaikan ilmu dan berkongsi ilmu ini dengan seseorang yang rapat dengan pelajar dan pelajar mampu bertanya segala persoalan yang berkenaan isu HPV ini. Di sini lah kami melihat guru kaunseling adalah individu yang paling sesuai untuk kami mendekati para pelajar dan memahami masalah mereka. Yang mana kami yakin guru kaunseling adalah individu yang rapat dan sesuai untuk menyampaikan dan menyedarkan para pelajar sekali gus ibu bapa berkenaan kepentingan pengambilan vaksin HPV,” ujar Dr Nuruliza Roslan selaku ketua projek.

Seminar ini tidak terhenti ini sahaja malah pihak USIM akan memantau 14 buah sekolah terpilih untuk melihat perkembangan serta penerimaan vaksin ini terhadap pelajar dan ibu bapa. Zon kedua pada 3 dan 4 Mac diadakan di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah bagi guru sekitar Daerah Jempol, Jelebu, Kuala Pilah dan Rembau.

Hadir sama adalah En. Pkharuddin Bin Hj Ghazali, Timbalan Pengarah JPNS, Prof Dr Shamsir Aris, Dekan FPSK, Prof Madya Datin Dr Hjh Sapora Sipon, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan USIM dan Prof Madya Dr Sharifah Aminah Syed Mohamad, Pengarah Komuniti Penyelidikan (CoRe): Pharmaceutical and Life Sciences.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204