NILAI – Melihat kepada kepentingan mewujudkan kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk menguasai subjek bahasa Arab, penyelidik USIM yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Azman Ab. Rahman bersama rakan penyelidik mengambil inisiatif menghasilkan produk alat bantu mengajar kepada pelajar sekolah rendah dan menengah untuk menguasai kemahiran berbahasa Arab yang dinamakan Gamifikasi Arabic Game (GAG).

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang berkata, GAG merupakan sebuah permainan papan ilmiah yang bertemakan bahasa Arab yang berfungsi sebagai permainan interaktif dengan menerapkan sistem pembelajaran meliputi silibus KSSR, KSSM dan KBD. Elemen pembelajaran tersebut di guna pakai pada soalan-soalan di dalam permainan GAG yang bertujuan menguji tahap kefahaman dan penguasaan pelajar berbahasa Arab.

“Selain itu, GAG tersedia dalam tiga aras soalan IQ mengikut tahap kesukaran yang mana peserta akan bermain untuk menguji tahap penguasaan semasa permainan. GAG juga menampilkan pemenang yang boleh ditentukan berdasarkan kepada markah terkumpul sepanjang permainan”.

Tambahnya, walaupun menghadapi cabaran dari segi sumber kewangan namun, ianya mampu di atasi. Dalam usaha menghasilkan GAG, perbelanjaan dilaburkan untuk membeli buku-buku teks bahasa Arab yang menjadi rujukan utama kepada ahli penyelidik untuk membina soalan dan konsep permainan. Tambahnya lagi, pembinaan prototaip, reka bentuk dan uji kaji produk juga melibatkan kos yang tinggi.

“Produk GAG ini berbeza dari segi kandungannya dengan GZG yang khusus direka bagi pendidikan zakat. Berbanding dengan GAG, landasan GAG dilukis seperti piramid iaitu simbolik kepada negara Arab, Mesir dan tidak lagi berbentuk empat segi yang melalui proses permainan secara berulang-ulang seperti monopoli”.

“Pemenang akan dinilai apabila pemain yang pertama berjaya sampai ke puncak piramid mengakhiri permainan tersebut. Kami percaya bahawa masyarakat di luar sana akan menyukai GAG sebagaimana sambutan yang diberikan kepada GZG. Malah kami sangat optimis terhadap perkara ini kerana GAG sangat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan rujukan dan alat bantu mengajar dan bahan latihan kepada para guru dan pelajar dalam membentuk kemahiran berbahasa Arab yang lebih baik,” katanya.

Produk GAG pernah meraih pingat emas di World Arabic Language Day (WALD) 2017 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Disember lalu dengan tema “Bahasa Arab dan Ilmu”.

Ahli Kumpulan Penyelidik:
Profesor Madya Dr. Azman Ab Rahman
Prof. Madya Dr. Muhammad Sabri Sahrir
Dr. Abdul Razif Zaini
Dr. Nurkhaimimi Zainuddin
Ahmad Anis Muhd Fauzi
Tengku Mansur Tengku Zainal Abidin