THAILAND, 6 Februari 2018 – Program kemasyarakatan Global Islamic Student Outreach (GISO), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke Krabi, Thailand berjaya dilaksanakan dari 1- 6 Februari 2018. Ekspedisi tersebut dianggotai seramai 27 mahasiswa tahun 3 dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), USIM bersama pensyarah pengiring Dr Sakinah Ali Pitchay. Misi yang bertemakan ‘Blooming Humanity’ selama enam hari terdiri daripada aktiviti memberi bantuan dari segi sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik serta menyambungkan silaturrahim bersama masyarakat tempatan.

Menurut pensyarah pengiring Dr Sakinah Ali Pitchay, Masyarakat di Krabi Thailand terdiri daripada pelbagai agama dan kebanyakkannya adalah masyarakat bukan Islam. Kebanyakan anak-anak yang belajar di sini terdiri daripada anak yatim dan dari keluarga susah di mana mereka telah ditinggalkan di situ dan ibu bapa mereka tidak datang melawat, seolah-olah dibiarkan seperti tiada ibu bapa. Sayu hati mendengarnya apatah lagi pendapatan tenaga pengajar di Madrasah tersebut juga dibayar melalui sumbangan wakaf orang ramai dan begitulah juga anak-anak yang menuntut di sana.

“Antara positif impak terhadap lawatan GISO ini adalah dapat memupuk semangat kerjasama dalam menjayakan sesuatu aktiviti dijalankan serta lebih mensyukuri rezeki Allah dengan membantu golongan yang susah. Selain itu dapat melatih mahasiswa/siswi USIM dalam memperkukuhkan kemahiran insaniah seperti cara untuk mendekati masyarakat Thailand di sana dan juga pelancong luar ketika akviti mempromosi kuih tradisional Malaysia. Krabi merupakan antara tarikan pelancong luar yang memberi peluang kepada mahasiswa/siswi memperkenalkan Malaysia seterusnya USIM”.

“Aktiviti rukun jual beli secara Islam juga diperkenalkan melalui 4 jenis bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa  Inggeris, Bahasa Thailand dan Bahasa Arab di kalangan para penjual ketika program ‘Business Jargon’ dijalankan di Night Market. Aktiviti ini secara tidak langsung mempraktikkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli di persada dunia”.

Manakala menurut guru besar sekolah tersebut, Ustaz Imran Abdullah Abdul Mutalib, walaupun sekolah ini merupakan sekolah swasta, sekolah ini bukan seperti sekolah swasta yang kita fikirkan. Ada dikalangan pelajar yang kurang mampu ditanggung yuran secara percuma. Jelas Rushdy Thaoklo, untuk membuka peluang memberi pelajaran kepada anak-anak serta meluaskan pengajaran Islam itu sendiri kerana tidak banyak sekolah agama di Krabi.

Program GISO ini berjaya menepati objektif yang digariskan. Antaranya ialah mempelajari ‘Bussiness Jargons’ bersama peniaga-peniaga tempatan. Disini mereka bertemu peniaga dan berkongsi penggunaan bahasa perniagaan dalam empat bahasa iaitu bahasa Arab, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Thai. Mereka juga membuat aktiviti ‘Street Dakwah’ di sebuah lokasi perhatian pelancong iaitu Ao Nang Beach. Misi GISO memberi kuih tradisional iaitu kuih bahulu dan kerepek lidah buaya kepada orang awam serta para pelancong di sekitar kawasan, di samping itu memperkenalkan budaya Malaysia secara umum. Aktiviti tersebut mendapat respon yang sangat baik khususnya di kalangan pelancong luar.

Antara aktiviti lain yang diadakan seperti mengadakan 6 aktiviti dalam kumpulan bersama pelajar, menanam pokok serta memberi sumbangan alat tulis kepada pelajar di Madrasah Wanthong Wittaya, pakaian dan makanan asas kepada masyarakat setempat di sekolah Anuban.

 

Disediakan oleh:
Afeqa Ahmad (GISO Thailand)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204