NILAI, 8 April 2021 – Majlis Amanat 2021 oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin mensasarkan 9 sasaran tahunan. Salah satu daripadanya adalah USIM Students Learn More Make More and Share More. Dengan konsep prosumerisme yang diperkenalkan, para pelajar bukan sahaja menjadi pengguna malah mereka juga boleh menjadi pengeluar dan membuka ruang pekerjaan kepada orang lain.

Ini terbukti apabila rata-rata graduan USIM telah merealisasi konsep prosumerisme yang dihasratkan oleh universiti dan telah berjaya mewujudkan perniagaan sendiri sejurus mereka tamat pengajian tahun lepas.

Muhammad Ikram Zaidi,25, graduan Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam dengan kepujian, nekad ceburi bidang perusahaan kek batik dan sambal belimbing apabila pandemik Covid-19 melanda sejak tahun lepas yang menyukarkan beliau untuk mencari pekerjaan. Kini, beliau mampu meraih pendapatan sendiri hasil perniagaan yang dijalankan dari rumah.

“Saya telah mencuba mencari kerja melalui karnival-karnival kerjaya, namun belum berhasil kerana majoriti syarikat itu memerlukan pengalaman”.

Anak sulung dari lima beradik ini sejak dari tahun pertama sehingga tamat pengajian tidak akan mensia-siakan waktu terluang untuk mencari ‘duit poket’ sendiri dengan melakukan pelbagai kerja sementara antaranya menjual buah mangga botol, dan pembantu katering.

Tidak hairanlah beliau turut dianugerahkan Anugerah Khas Keusahawanan Universiti atas kegigihan beliau aktif dalam bidang usahawan yang diceburinya. Ikram berhasrat untuk melebarkan perniagaan dan pada masa yang sama akan mencari peluang kerjaya dalam bidang pengurusan.

Begitu juga Nur Haziqah Zakaria,25, yang mula mengusahakan perniagaan popia seaweed pada November tahun lalu. Beliau tidak menyangka popia seaweed ini mendapat sambutan yang menggalakkan, dan telah mencecah 3 ribu balang dan lebih 15 ejen walaupun baru lima bulan beroperasi di rumahnya Pokok Sena Kedah.

“Pada tahun lepas saya disahkan menghidap penyakit SLE dan memerlukan rawatan berkala setiap bulan, sejak itu saya nekad untuk ‘bekerja sendiri’ menguruskan perniagaan popia seaweed ini dengan bantuan keluarga. Agak sukar sekiranya saya bekerja dengan majikan dan perlu cuti untuk mendapatkan rawatan”, ujarnya.

Anak kedua dari lima beradik ini bercita-cita untuk memajukan perniagaan dengan mengambil pekerja tambahan bagi memenuhi permintaan pelanggan dan ejennya.

Manakala Muhammad Khairuldin Abdul Razak, 27, selepas tamat pengajian beliau telah meneruskan perniagaan keluarganya dalam bidang pembinaan, dengan berkhidmat sebagai assistant site supervisor.

“Perancangan saya selepas ini untuk mengusahakan perniagaan sendiri di samping menambah kemahiran dan pengalaman dalam bidang pembinaan”, tambah Khairuldin lagi.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan