NILAI, 11 Mac 2019 – Cabaran umat Islam pada hari ini adalah untuk memastikan setiap fatwa yang diberikan terhadap sebarang isu mampu menawarkan solusi berkesan dan boleh memperbaiki keadaan masyarakat. Pada masa yang sama, kesedaran terhadap ilmu kepenggunaan halal masih belum menyeluruh dan segala aspek pematuhan syariah masih lagi di tahap sederhana.

Oleh itu, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) dan Institute of Halal Research and Management (IHRAM) mengambil inisiatif untuk bergerak seiring dengan bernaung di bawah penubuhan super COE baharu International Fatwa and Halal Centre (IFFAH).

Hadir merasmikan majlis adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, YBhg. Prof. Dato’ Dr Roshada Hashim, berkata gabungan ini adalah bertepatan untuk perancangan jangka masa panjang di mana USIM melihat perlunya satu ekosistem dan suasana yang releven.

“Melalui penggabungan ini, ia jelas menunjukkan USIM mengambil pendekatan serius dan telah mengorak langkah lebih terkehadapan dengan membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk mengetahui dan mengkaji serta mendapatkan perkhidmatan terhadap bidang fatwa dan halal,” ujarnya.

Bagi Prof Madya Dr Irwan Mohd Subri, Pengarah Besar (menjalankan tugas) IFFAH, beliau mengatakan tanggungjawab IFFAH untuk menyokong aspirasi USIM justeru menunjukkan IFFAH penting dalam melaksanakan agenda bidang halal dan fatwa.

“IFFAH tidak teragak-agak untuk merentasi kedua-dua bidang ini kerana ia merupakan simbol integrasi Naqli dan Aqli selari dengan aspirasi USIM dan juga Malaysia sebagai Hub Halal yang terkenal di seluruh dunia. Oleh itu, gabungan ini InshaAllah akan melonjakkan lagi kepakaran serta perkhidmatan yang ada di USIM,” ucapnya.

Manakala Timbalan Pengarah IHRAM, Dr. Norhayati Rafida Abdul Rahim yang juga merupakan pengarah program berkata, pelancaran IFFAH diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersikap prihatin terhadap isu-isu fatwa dan kepenggunaan halal.

IFFAH secara menyeluruh berfungsi memberi perkhidmatan profesional yang berkaitan dengan kesarjanaan fatwa dan halal, membangunkan bakat kesarjanaan fatwa dan halal dalam penyelidikan dan perundingan, mewujudkan perkongsian pintar dalam pembangunan produk dan perkhidmatan berkaitan kesarjanaan fatwa dan halal untuk penjanaan pendapatan serta mendidik masyarakat melalui kesarjanaan fatwa dan halal.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032