NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) terus memacu keterlihatan dan pengaruhnya di peringkat antarabangsa dengan menerima kunjungan hormat daripada Unit Kediaman Pelajar, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam.
Lawatan bersejarah yang berlangsung pada 13 Mei 2025 di USIM ini menyaksikan penyertaan aktif daripada pimpinan kolej kediaman kedua-dua institusi, termasuk Pengurus Kediaman Pelajar UNISSA dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM.
Antara pengisian utama program ini ialah Forum Student Empowerment: Kolej Sebagai Tapak Kepimpinan dan Ilmu, yang menjadi medan perbincangan strategik mengenai peranan kolej kediaman dalam mencorak kepimpinan pelajar. Forum ini turut memperlihatkan keterlibatan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, menjadikan program ini sebagai titik temu dua hala yang penuh makna.
Sepanjang program berlangsung, peserta turut menyertai sesi lawatan penanda aras dan perkongsian amalan terbaik pengurusan kolej kediaman di USIM. Penerangan menyeluruh mengenai operasi kolej, tadbir urus pelajar serta pendekatan pembinaan karakter kepimpinan menjadi antara fokus utama yang dikongsikan.
Menurut Pengarah PRUPEL, Puan Raja Mariam Raja Mohd Esa, program seperti ini diharapkan dapat menjadi platform yang berkesan untuk pertukaran idea, perkongsian strategik, dan pengukuhan hubungan antara institusi dan lebih baik lagi merentas nusantara.
“Dengan adanya dialog dua hala, peserta dapat memperkayakan pengalaman masing-masing dan meneroka pendekatan terbaik dalam pengurusan kolej kediaman. Kelestarian program ini boleh dicapai melalui kesinambungan kerjasama, dokumentasi hasil perbincangan, serta pelaksanaan inisiatif yang dibincangkan supaya manfaatnya dapat dirasai dalam jangka masa panjang,” jelas beliau.
Hubungan erat antara Malaysia dan Brunei dalam bidang pendidikan turut mendorong kerjasama seperti ini bagi memastikan kelestarian dan perkembangan yang seimbang dalam ekosistem pendidikan kedua-dua negara.
Oleh: Muhamad Ikmal Firdaus Mustafa