NILAI, 11 November 2018 – Seramai 40 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Tahun 4 bersama 8 pensyarah daripada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) telah bersama-sama menjalankan program khidmat ummah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuala Terengganu dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Kuala Terengganu pada 9 November hingga 11 November 2018.

Bertemakan “We Care We Love” pelaksanaan program ini bertujuan untuk mendidik dan memberi peluang untuk merasa tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa USIM yang cakna dalam menimba pengalaman sekaligus dapat meningkatkan kesedaran nilai-nilai empati terhadap pelajar yang mengalami cacat penglihatan dan kurang pendengaran disekolah tersebut.

Antara aktiviti yang terlaksana di SKPK Kuala Terengganu pada hari tersebut adalah terapi wudhu, terapi rukyah, tahfiz akhyar, tadabbur surah, dan bahasa isyarat akidah, manakala di PERTIS Kuala Terengganu, mereka mengajar bagaimana cara untuk menyantuni OKU penglihatan, melawat cara pembelajaran mereka dan juga mengadakan slot perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Nur Adzam bin Rasdi pensyarah USIM, dalam membezakan antara kaedah penulisan Quran braille dengan penulisan Quran braille Resam Uthmani

Pengarah Program, Saudara Ahmad Zakuan Bin Ahmad Azizi melahirkan rasa bangga dan teruja dengan terlaksananya program khidmat ummah ini kerana dapat memberi pengalaman dan pendedahan kepada mereka sebagai sukarelawan dalam menjayakan program khidmat ummah bersama anak-anak istimewa ini mengikut cara mereka tersendiri. Ia juga adalah untuk mendekati pelajar-pelajar yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran dengan lebih dekat.

“Selain itu, kami juga turut mengadakan aktiviti solat dhuha berjemaah bersama kanak-kanak istimewa ini sejurus itu sambil mengajar mereka cara solat dengan betul. Dengan adanya program seperti ini, ianya mampu merubah persepsi masyarakat terhadap golongan kelainan upaya yang mana bakat mereka disisihkan oleh masyarakat walhal mereka mempunyai bakat yang tersendiri bahkan ada daripada mereka mampu menyaingi bakat orang-orang normal. Hakikatnya, kita semua adalah sama dan setiap orang ada kelebihannya yang tersendiri dan yang membezakannya hanyalah iman dan taqwa seseorang’’

“Di samping itu, di PERTIS, kami banyak meluangkan masa dengan orang-orang tua yang mengalami masalah penglihatan berumur dalam lingkungan 12 hingga 80 tahun. Dengan adanya program seperti ini, mereka dapat merapatkan lagi hubungan antara sesama manusia tidak kira tua atau muda dan dapat berkongsi masalah berkaitan kekeluargaan bersama dengan orang-orang tua sejurus dapat merasai kesedihan dan berasa simpati keatas apa yang berlaku pada diri mereka dan keluarganya.’’ Hal ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa nikmat yang kita ada ini hanyalah pinjaman semata-mata, jadi bersyukurlah dengan apa yang kita ada.’’

“Sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesusngguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mandalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu’’, tambah Zakuan.

 

Disediakan oleh:
Mursyidah Ramli
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032