Majlis Iftar Jama’ie bersama anak syurga

NILAI, 26 Mei 2018 – Penganjuran program Iftar Jama’ie Bersama Anak Syurga yang bertemakan Sejuta Cinta Buat Yang Teristimewa ini merupakan inisiatif pihak Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) dalam usaha memberi ruang dan peluang kepada golongan OKU untuk mendekati agama serta meraikan kewujudan mereka yang selama ini seolah-olah terlepas pandang oleh golongan tipikal mahupun agamawan. Program yang diadakan bertempat di Komplekas Islam Tuanku Muhriz, Universiti Islam Malaysia (USIM), ia menyajikan aktiviti pengisian rohani dan jasmani bagi mengimarahkan bulan Ramadan.

Penganjuran program ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa dan golongan OKU menyertai program yang berunsur Islami disamping untuk menyatupadukan kita sesama manusia tanpa mengira kekurangan atau kelebihan masing-masing, kerana hakikat yang sebenarnya adalah kita semua bertuhankan Allah Yang Maha Satu dan tiada tandingannya.

Istimewanya program ini telah berjaya mengumpulkan pelbagai jenis OKU seperti (OKU Pendengaran, OKU Penglihatan, Masalah pembelajaran Autisme, Learning Diferrences, Sindron Down dan lain-lain) dan terdapat juga penyertaan daripada non-Muslim. Program ini juga sebagai langkah awal supaya insan tipikal lebih cakna terhadap isu yang dihadapi oleh golongan OKU dalam cabaran mereka beragama.

Program ini dimulakan dengan bacaan Terapi Ruqyah, Tarbiyaul Aulad; Ramadhan Refleksi Rahmat Allah, Tilawah Tanpa Suara (Bahasa Isyarat kaedah Fakih) dan Psikologi Talk. Kemudian, selepas Solat Asar disambung acara Majlis Tadarus Al-Quran secara berkumpulan bagi mereka yang pekak, yang mana peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kategori OKU (Pekak, Buta dan masalah pembelajaran) yang terlibat secara langsung. Mereka kemudiannya, bersama-sama berbuka puasa dan menunaikan Solat Maghrib dan Solat Isya yang mana istimewanya solat Isya’ ini diimamkan oleh Iman Buta, iaitu Ustaz Syukri yang merupakan imam masjid Jamek, Kuala Lumpur. Seterusnya solat terawih diteruskan seperti biasa bagi menjalankan tanggungjawab sebagai individu Muslim.

”Program yang melibatkan golongan OKU adalah sangat jarang ditemui. Berikutan itu, mereka dilihat semakin tercicir jauh daripada mendapat pendidikan agama. Justeru, kami berasa terpanggil untuk mengisi kelompangan yang ada ini setelah melihat senario ini yang semakin hari semakin menggusarkan pelbagai pihak terutamanya guru dan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa. Golongan OKU seharusnya diberikan ruang dan peluang supaya mereka juga turut merasai indahnya hidup beragama,” ujar Ustaz Muhamad Nasri, Ketua Pegawai FAQEH Training And Consultancy.

”Kita yakin bahawa al-Quran dan Ibadah lainnya perlu diberikan kepada mereka, hal ini adalah disebabkan mereka juga akan turut membesar sebagai seorang manusia yang fitrahnya hidup beragama. Harapan kami adalah supaya masyarakat akan lebih cakna terhadap kehadiran golongan OKU disekeliling mereka tanpa memandang enteng akan masalah yang dihadapi mereka dalam cabaran OKU beragama,” tambahnya lagi.

Besar harapan penganjur agar usaha murni ini sedikit sebanyak mampu membuka mata dan minda masyarakat serta pihak berwajib untuk kita sama-sama menghulurkan bantuan serta menyantuni golongan istimewa ini, bukan hanya menyediakan keperluan survival (kemandirian) atau Fardhu Kifayah kepada OKU sehingga meninggalkan tuntutan Fadhu Ain khususnya membudayakan pendidikan al-Quran dan Ibadah dalam kehidupan seharian mengikut kemampuan mereka tersendiri. Selain itu, melalui penganjuran program sebegini, golongan OKU akan lebih rasa dihargai dan kehadiran mereka juga disedari oleh masyarakat sekeliling terutamanya dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat serta mahasiswa/i dalam isu dan cabaran OKU dalam beragama khususnya.

Pihak penganjur juga mengharapkan program ini menjadi salah satu usaha murni bagi mengajak golongan OKU untuk masuk ke dalam masyarakat, hal ini adalah kerana golongan ini dilihat seakan dipinggirkan oleh masyarakat setempat disebabkan kekurangan yang mereka miliki.

Program anjuran Yayasan FAQEH dengan kerjasama FAQEH Training and Consultancy (FTC) mendapat sokongan penuh daripada Unit Penyelidikan Ibn Ummi Maktum (UMMI) dan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) sebagai penaja utama. Tidak ketinggalan juga badan-badan NGO lain dan pelaksanaan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar latihan industri (LI) di bawah seliaan Yayasan FAQEH yang terdiri daripada pelajar USIM dan juga pelajar Universiti Swasta yang berkecimpung dalam bidang pengajian Islam dan psikologi.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk menyertai program ini, bolehlah melayari website Yayasan FAQEH di FB: yayasanFAQEH dan laman sosial lain di Instagram: yayasanFAQEH) dan FAQEH Training & Consultancy (FB: FAQEHTnC).

Oleh :
Atirah Rohadi dan Muhamad Nasri Suratman
Sekretariat Majlis Iftar Jama’ie

2018-05-28T10:07:52+00:00