NILAI, 4 April 2020– Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad meluangkan masa dua jam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Jumaat petang (3 April 2020) untuk melihat secara dekat pengurusan dan kesiapsiagaan USIM dalam memerangi wabak Covid-19.  Beliau yang tiba di Kampus USIM pada jam 4.00 petang disambut oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin bersama Pengurusan Universiti , Pegawai Kanan dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Beliau di bawa dahulu ke Bilik Gerakan Agensi (BGA) di Pusat Kesihatan Universiti untuk diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa pengurusan Covid-19 diperingkat universiti. BGA yang ditubuhkan oleh USIM berfungsi sebagai bilik gerakan utama universiti yang melaksanakan segala gerak kerja pengurusan, pemantauan dan pengumpulan informasi berkenaan Covid-19 dalam kalangan warga kampus. Beroperasi setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam, para petugas yang ditempatkan di BGA merupakan terdiri daripada Pegawai Bersekutu dan Pegawai Kehormat Badan Beruniform di USIM yang berpengalaman.

Menerusi taklimat ini, USIM telah berkongsi dengan Menteri Pengajian Tinggi pemantauan dilakukan melibatkan empat lokasi utama yang menempatkan warga USIM iaitu di Kampus Induk Nilai, Negeri Sembilan; Kampus USIM Pandan Indah, Selangor; Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Selangor; dan pelajar perubatan di Temerloh, Pahang. Sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, sebanyak 12 kluster operasi yang diterajui oleh jabatan tertentu telah dikenalpasti oleh BGA sebagai kritikal dan penting untuk terus beroperasi di USIM sepanjang PKP ini.

USIM juga telah melaksanakan 30 inisiatif gerak balas bencana dalam mendepani Covid-19 bersama tiga inisiatif khas iaitu penghasilan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer); pelindung muka (face shield) dan baju perlindungan diri (PPE).  Pada masa kini, seramai 979 orang pelajar masih berada di kampus  dengan penempatan mereka di kolej kediaman dan menginap luar (menyewa) di sekitar kampus. Kebajikan melibatkan makan minum dan kesihatan kumpulan pelajar ini sentiasa dijaga dan dipantau oleh USIM.

Selesai taklimat di BGA, Dato’ Dr. Noraini Ahmad dibawa melawat ke Fakulti Sains dan Teknologi untuk melihat penghasilan hand sanitizer oleh Kumpulan Faculty Science and Technology Laboratory in a Box (FaST LaB) dan Rumah Mizan USIM yang menjadi lokasi penghasilan face shield menggunakan teknologi mesin cetakan tiga dimensi (3D). Usaha yang diterajui oleh pensyarah USIM ini adalah untuk disumbangkan secara percuma bagi memenuhi keperluan petugas kesihatan barisan hadapan di hospital dan klinik kesihatan.

Mengakhiri lawatan ke USIM, Menteri Pengajian Tinggi meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra serta mengagihkan makanan kepada pelajar yang berada di Kolej Kediaman Satu USIM.

Dalam reaksinya, beliau memuji persiapan operasi Covid-19  yang diambil USIM dan pengurusan kebajikan pelajar yang tidak pulang ke kampung yang teratur dan ini menurutnya hasil dari kerjasama erat antara Pengurusan Universiti, MPP dan sukarelawan yang membantu. Tambahnya lagi, sumbangan kepakaran dan inovasi USIM untuk menyokong barisan hadapan melawan Covid-19 turut dihargai pihak Kementerian Pengajian Tinggi walaupun pasukan ini menghadapi beberapa kekangan khususnya bahan mentah,tetapi ia tidak melemahkan semangat mereka untuk terus membantu.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan