NILAI, 8 Disember 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini turut mengadakan perhimpunan solidariti membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengiktiraf bandaraya Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang juga memindahkan kedutaan negaranya yang kini berada di Tel Aviv ke bandaraya Baitulmaqdis.

Perhimpunan yang berlangsung secara aman selepas solat Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz oleh mahasiswa yang diselaraskan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM adalah sebagai tanda solidariti masyarakat kampus khususnya mahasiswa yang juga mengambil cakna akan nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Mengulas apa yang berlaku, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, YBhg Prof Dato’ Dr Hassan Basri bin Awang Mat Dahan menyokong inisiatif yang dilaksana oleh mahasiswa yang menunjukkan kepekaan mereka terhadap perkara ini dan mahu bersama-sama kerajaan dan rakyat Malaysia dan dunia untutk mengutuk tindakan biadap Amerika dan Israel itu.

“Tindakan AS ini memperlihatkan mereka tidak sensitif kepada umat sejagat sedangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai kota suci agama Islam termasuk juga agama Yahudi dan Kristian. Atas dasar itulah warga USIM bersama seluruh masyarakat dunia tidak mahu berdiam diri malah turut mengutuk tindakan jijik Amerika dan israel yang angkuh lagi sombong ini,” tambahnya.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM, Dr Muzaffar Syah Mallow turut menyelar dan berpendapat tindakan AS bukan sahaja akan menjadikan konflik antara Palestin dan Israel bertambah buruk malah turut akan mengundang perasaan tidak puas hati dari kalangan umat Islam diserata dunia termasuk di Malaysia.

“Tindakan AS ini akan menyebabkan segala usaha peperangan terhadap keganasan menjadi bertambah sukar kerana pihak militan dan penganas akan menggunakan isu ini sebagai alasan untuk melakukan pelbagai jenis keganasan serta pada masa yang sama memudahkan usaha mereka untuk menyebarkan segala pengaruh militan serta keganasan ke serata dunia. Isu ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia melibatkan maruah serta masa depan umat Islam bukan sahaja di Palestin malah dari serata dunia termasuk di Malaysia,” tambahnya.

“Oleh itu Pihak Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) perlu memainkan peranan mereka bagi melindungi rakyatPalestin serta mempertahankan kota suci ketiga umat Islam daripada jatuh ke tangan Israel. Masa dan tenaga yang ada oleh kita semua mesti digunakan bagi menggagalkan rancangan terkini Presiden Trump serta memaksa Presiden Trump untuk menarik kembali pengistiharan berat sebelah yang telah dibuatnya Rabu lalu terhadap status bandaraya Baitulmaqdis,” ujarnya lagi.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204