NILAI, 22 Februari 2018 – Seramai 86 peserta telah berjaya lulus dalam Sijil Profesional Eksekutif Halal (Certificate of Professional Halal Executive) (PHEP) dan dirai di Majlis Penyampaian Sijil PHEP yang disampaikan oleh YB. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), merangkap Timbalan Menteri Mentor USIM.

Professional Halal Training Programme (PHTP) yang dianjurkan oleh Institute of Halal Research and Management (IHRAM), Universiti Sains Islam Malaysia merupakan program latihan profesional telah mula dilaksanakan sejak tahun 2014.

“Peranan IHRAM ini sangat signifikan dalam pengembangan ilmu untuk faedah industri halal dan kepentingan ummah keseluruhannya. Jalinan kerjasama antara universiti dan industri harus diteruskan bagi mencapai agenda halal negara bagi melahirkan bakat halal yang kompeten untuk keperluan industri halal di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa,” ucap YB. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi.

Dalam pada itu, Pengarah IHRAM, Prof Madya Dr Che Wan Zanariah Che Wan Ngah berkata PHEP telah berjaya menarik minat pemain industri dengan penyertaan hampir 50% terdiri daripada syarikat multinasional (MNCs), syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SMEs) serta graduan dalam pelbagai bidang berkaitan.

“Kajian kebolehpasaran juga membuktikan hampir keseluruhan alumni PHEP memperolehi peluang pekerjaan dalam tempoh kurang enam (6) bulan selepas menamatkan latihan,” ujarnya lagi,

Di USIM, IHRAM berperanan sebagai penyelaras pelaksanaan semua latihan halal sejajar dengan hasrat ke arah menjadi pusat rujukan global berkaitan pendidikan kepenggunaan halal (Halal Istihlak Education).

Professional Halal Training Programme (PHTP) yang merupakan program latihan profesional telah mula dilaksanakan sejak tahun 2014 yang terdiri daripada tiga (3) program sijil profesional iaitu Certificate of Professional Halal Executive (PHEP), Certificate of Professional Halal Analyst (PHAP) dan Certificate of Professional Internal Halal Auditor (PIHA). Idea membangunkan PHTP bermula daripada projek Knowledge Transfer Programme (KTP) “Flagship Project-Industry” hasil kerjasama IHRAM dengan TPM Biotech Sdn Bhd dan Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd.

Pada majlis yang sama, kumpulan penyelidik USIM yang diketuai Prof Madya Dr Azman Abd. Rahman melancarkan produk Global Halal Game yang merupakan permainan papan ilmiah bertemakan halal bagi menerapkan konsep didik hibur dan interaktif dalam pendidikan halal.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204