NILAI, 19 April 2021 – Dalam usaha merealisasi kempen Prosumerisme USIM, iaitu berkongsi kepakaran dan kebaikkan kepada komuniti, Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif berkongsi aspek kepakaran pengurusan padang Kompleks Sukan Tunku Najihah dengan menganjurkan program bicara sukan bersama komuniti yang terdiri daripada guru sekolah, pentadbir sukan Institusi Pengajian Tinggi dan operator kemudahan sukan.

Sesi yang berlangsung selama 3 jam ini disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Kemudahan, Pusat Sukan USIM Encik Nur Ekmal Buhary  yang berkongsi kepakaran beliau meliputi aspek tips pengurusan padang merangkumi keperluan penyiraman, pembajaan, pemotongan dan kaedah mempromosikan kemudahan dengan lebih berkesan.

Ia merupakan program julung kali dianjurkan oleh Pusat Sukan USIM bagi berkongsi pengalaman dan pendekatan pengurusan kemudahan fasiliti sukan dan padang.

Menurut Nur Ekmal Buhary, idea ini tercetus apabila semakin ramai pihak khususnya mereka yang mengendalikan kemudahan sukan menyedari pentingnya aspek pengurusan kemudahan khususnya penjagaan padang perlu dipertingkatkan. Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas yang diterima, rata-rata pengendali kemudahan sukan khususnya disekolah dan institusi tidak mempunyai asas dan ilmu pengurusan padang yang sistematik yang boleh dipratikkan di premis masing-masing.

Tambah beliau, antara cabaran utama pengendali kemudahan ialah aspek kekurangan dana yang mencukupi, peralatan yang sesuai serta mereka yang mahir dan berpengetahuan dalam aspek memulihara dan merancang program penyelenggaran kemudahan atau padang yang berkesan. Cabaran ini dilihat antara faktor yang menyebabkan kebanyakkan padang sukar mencapai tahap yang memuaskan dan selamat untuk tujuan latihan pasukan.

“Kita sering memberi alasan mengenai kualiti padang disebabkan dengan jenis rumput yang dikatakan tidak sesuai dinegara kita. Dalam memastikan kualiti padang berada dalam keadaan baik, mentaliti penjagaan harus diubah dengan menerapkan aspek penjagaan padang yang sistematik dan betul. Rumput yang ada disekeliling kita adalah rumput yang sememangnya sesuai dengan persekitaran dan suhu di negara ini”.

“Ia harus bermula dengan ilmu dan penguasaan kemahiran serta mentaliti untuk meningkatkan kesedaran sebelum kita bercakap tentang apakah rumput yang sesuai digunakan. Sering berlaku penyediaan sesuatu perancangan dan pembinaan padang lazimnya tidak setara dengan aspek pelaksanaan penyelenggaraan yang akhirnya berakhir dengan kualiti yang tidak diharapkan”, ujarnya.

Ekmal menambah lagi, Kementerian Belia dan Sukan melalui pelaksanaan Visi Sukan Negara 2030 perlu meneliti aspek ini bagi mengembeling sokongan pengendali kemudahan sukan diperingkat institusi. Kita tidak perlu peruntukan yang besar untuk membina fasiliti baharu, tetapi peruntukan yang ada disalurkan bagi menambahbaik fungsi dan prasarana yang ada dengan bantuan mereka yang berpengalaman untuk mengendalikan kemudahan yang ada disamping meningkatkan kesedaran pengguna untuk sentiasa menghargai kemudahan yang telah disediakan

Bagi menjayakan Visi Sukan Negara 2030, perlu juga memberi fokus kepada aspek pendidikan, dan pengurusan urus tadbir kemudahan sukan yang lebih kondusif.

Sering kali kita melihat banyak prasarana sukan yang dibina dan disediakan tidak digunakan secara optima dan lebih malang tidak diselenggara dengan baik. Justeru, usaha untuk melahirkan atlit diperingkat akar umbi memerlukan komitmen yang terbaik diperingkat pengurusan kemudahan sukan bermula di sekolah, komuniti dan seterusnya diperingkat tertinggi.

Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM mempunyai hampir 20 ekar keluasan serta mempunyai 4 buah padang bola sepak, trek dan kemudahan sukan lain yang diselenggara dengan baik dan menjadi pilihan lebih pasukan bola sepak dari 17 buah negara termasuk Pasukan Kebangsaan Harimau Malaya yang pernah menjalani latihan semasam Kempen Suzuki CUP 2018. Reputasi pengurusan padang yang baik menjadikan Kompleks Sukan Najihah USIM menjadi pilihan pasukan dari dalam dan luar negara termasuk pasukan Piala Dunia Iran dan Korea Selatan serta pasukan Liga Super dan Liga Perdana seperti PJ City FC, Felda United FC dan Negeri Sembilan FC.

Disediakan oleh:
Pusat Sukan USIM

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan