NILAI, 25 November 2018 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi tuan rumah bagi Seminar Serantau Pendidikan Tinggi Islam (SeIPTI) 2018 kali yang ke lima yang bermula 25 hingga 26 November 2018 bertempat di Dewan Senat Canselori USIM. Sebanyak 110 kertas kerja dibentangkan pada program yang berlangsung selama dua hari itu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Tuan Zulkefly Mohamad Omar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan.

”Saya juga memuji USIM yang tidak pernah ketinggalan dalam kolaborasi serantau. Sesuai dengan fungsi sebagai sebuah universiti Islam, pada wal 2013 USIM diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai peneraju Konsortium Institusi Pengajian Tinggi Islam bagi Kualiti Akademik dan Penyelidikan Lanjutan atau dikenali sebagai i-IQRA’. Konsortium ini menjadi harapan negara untuk memperkasakan program akademik dan pengajian Islam yang bukan hanya bermanfaat kepada institusi pendidikan dalam negara tetapi turut melangkaui batas geografi iaitu rakan-rakan OIC di peringkat serantau”.

”Saya mengharapkan agar USIM akan terus memperkasakan kerjasama serantau ini dengan cuba melihat insentif yang bersesuaian agar usaha murni USIM dapat dimantapkan lagi pada masa akan datang. Kerjasama serantau seperti SeIPTI ini penting bagi Kementerian Pendidikan kerana ia merupakan kerjasama strategik yang akan dapat melonjakkan kecemerlangan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi” tambah YB Tuan Zulkefly dalam ucapannya.

SeIPTI merupakan program seminar yang dikoordinasikan oleh empat Universiti Islam di Asia Tenggara iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Malaysia, Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor Indonesia, Universitas Islam Sultan Syarif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam dan Universiti Fatoni, Thailand.

Pada tahun ini SeIPTI2018 mengangkat tema seminar iaitu Merintis Kampus Barakah dalam Institusi Pengajian Islam Global, bersesuaian dengan peranan sebuah Institusi Pengajian Islam Serantau untuk membentuk satu ekosistem pendidikan yang mempunyai nilai mampan. Selaras degan itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan sebuah institusi yang berasaskan agama dan penuntut yang berjiwa Islami serta menghayati nilai-nilai Islam.

Pada majlis ini juga turut diadakan Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan empat institusi pendidikan tinggi iaitu UNIDA Indonesia, Universiti Fathoni Thailand, Mindanao State University, Filipina dan Madrasah Ahmadiah Indonesia.

Melalui MoU ini, USIM akan bekerjasama dalam program latihan, projek kajian dan pembangunan, pertukaran staf dan pelajar serta kerjasama lain yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Turut dilancarkan buku “Memaknakan Kampus Barakah” berasaskan 7(i), iaitu ia merangkumi  budaya Iqra’, Integrasi ilmu Naqli & Aqli, Insan, Integriti, Interaksi dengan masyarakat, Internationalization,dan Inovasi Insani dalam Sains & Teknologi.

Selain konsep Barakah, USIM juga membawa kelainan dengan mengenengahkan elemen Kepemimpinan Berdasarkan Qalbu untuk diperkenalkan dan dihayati oleh semua peserta terutamanya kepada tiga rakan strategik UNIDA, UNISSA dan Universiti Fatoni. Dengan menjemput tokoh-tokoh kepemimpinan dalam pendidikan tinggi, USIM percaya penganjuran SeIPTI kali ini akan mengupas lebih banyak isu kepemimpinan pendidikan tinggi yang bersifat global dalam usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi Islam khususnya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad, dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato Dr Roshada Hashim.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032