NILAI – Golongan orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran kini boleh menikmati pembelajaran al-Quran dan solat dalam suasana yang lebih menyeronokkan dan santai.
Bagi menaraik perhatian dan membantu golongan itu, kumpulan penyelidik USIM membangunkan i-Sign Quranis, satu perisian interaktif yang mengandungi asas pembelajaran al-Quran dan ibadah.
Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Norakyairee Mohd Raus berkata, objektif utama pembangunan perisian yang menelan belanja RM 78,000 adalah bagi memenuhi keperluan rohani golongan tersebut berdasarkan kemahiran, kekuatan dan perbezaan pembelajaran mereka.
“Produk ini bertujuan untuk mengajar orang pekak membaca al-Quran. i-Sign Quranis adalah satu kurikulum yang dibangunkan oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah untuk anak-anak OKU pekak mendapat pendidikan yang sama seperti pendidikan di KAFA (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) dan sekolah agama rakyat.”
“Produk ini ada beberapa kandungan di dalamnya dan kita ada tranliterasi Makhraj (merumikan teks arab) dan terjemahan di bawahnya yang mesra golongan itu,” katanya.
Tambahnya, i-Sign Quranis yang memaparkan dua segmen ititu mengenai al-Quran dan asas-asas ibdah, dilengkapi dengan transliterasi rumi, bahasa isyarat dan terjemahan al-Quran untuk orang cacat pendengaran, yang dimainkan menerusi audiovisual.
“Orang pekak ini dikatakan bisu sebab biasanya golongan tersebut tidak penah mendengar perkataan sejak kecil”.
“Oleh itu, kita tidak boleh hendak menyebut atau menuturkan perkataan sebab itulah orang biasa sebut pekak bisu tetapi sebenarnya mereka ini ada kotak suara”.
“Kami pergi ke sekolah agama pendidikan khas di Johor Bahru baru-baru ini dan bila lihat interaksi kanak-kanak apabila dia nampak perisian, mereka gembira walaupun suara mereka tidaklah sempurna sangat tapi dia cuba untuk menuturkannya,” katanya.
Produk i-Sign Quranis pernah meraih pingat emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2017 (ITEX) di Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas, yang disertai lebih 1,000 penyelidik dari 22 negara termasuk China, Jerman, Hongkong, Indonesia, Iraq dan Vietnam.
Ahli Kumpulan Penyelidik :
Norakyairee Mohd Raus
Prof Madya Dr Adnan Mohamed Yusoff
Dr Noornajihan Ja’afar
Dr Nurul Asiah Fasehah Muhamad
Dr Mahyuddin Hashim
Mohd Nor Adzam Rasdi