NILAI , 22 Ogos 2018– Sempena Hari Raya Aidiladha yang disambut, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menghantar para siswanya ke empat buah negara di bawah program Global Islamic Student Outreach (GISO) untuk melaksanakan ibadah korban pada semalam.  Pada masa kini, ke semua mereka yang terlibat sedang bercuti semester sehingga awal September hadapan memilih ‘mengorbankan’ tempoh cuti untuk menyantuni dan mendekati komuniti Islam di negara berkenaan disamping merasai suasana merayakan Aidiladha di perantauan.

Kumpulan mahasiswa USIM yang menjayakan ibadah korban di empat buah negara ini terdiri daripada Kor Sukarelawan Siswa-siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) USIM seramai 20 orang pelajar yang menyempurnakan ibadah korban di Kampung Anoi Itam, Pulau Weh Sabang, Acheh Indonesia *(seekor lembu dan kambing)*; dan Sekretariat Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFAST) seramai 23 orang melaksanakan korban di perkampungan Tay Ninh, Vietnam *(seekor lembu)*.

Selain itu, sekumpulan pelajar terdiri daripada 52 orang di bawah kelab dan persatuan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM pula melaksanakan ibadah korban bersama penduduk Muslim di Krabi, Thailand *(seekor lembu dan kambing)* manakala 16 pelajar Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM) USIM berkampung di Kampung Chnang, Kemboja untuk menunaikan ibadah korban bersama penduduk Muslim di sana.

Menurut salah seorang pegawai pengiring GISO USIM yang bersama-sama siswa SKM di Kemboja ketika dihubungi iaitu Encik Mohd Hazrul Fareeza Harun berkata, kehadiran siswa USIM untuk melaksanakan program khidmat masyarakat khususnya sumbangan ibadah korban di Kampung Chnang kali ini amat dihargai  dan diraikan penduduk kampung. “Alhamdulillah, bilangan lembu yang dapat kita korbankan di sini sebanyak *10 ekor* hasil adalah sumbangan yang diterima dari pelbagai pihak di Malaysia dengan pelajar kita turut sama membantu melakukan sembelihan korban. Selain program korban, kita serahkan juga 14 buah basikal sumbangan USIM kepada kanak-kanak dari keluarga miskin di sini”

“Kami berbesar hati program ibadah korban ini turut dihadiri oleh Menteri Tenaga dan Buruh Kemboja, Osman Hassan dan memuji keprihatinan dan kesungguhan para siswa kita. USIM amat dekat di hati mereka kerana sebelum ini sekumpulan pelajar kita melalui platform GISO juga telah bertandang pada 2016 melakukan khidmat komuniti selain menyumbangkan satu unit pam air yang masih boleh digunakan sehingga kini untuk keperluan harian penduduk kampung” katanya.

Program GISO di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM menyediakan platform kepada para mahasiswanya untuk melaksanakan program kesukarelawanan yang menerapkan empat elemen iaitu libatsama masyarakat, pemindahan ilmu, pertukaran budaya dan kelestarian alam sekitar. Semenjak dilancarkan oleh USIM pada 2011, sehingga 2016 sebanyak 156 pengembaraan GISO telah dijalankan dengan penjelajahan ke lebih 20 buah negara yang melibatkan keseluruhan 3181 pelajar terlibat.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032