PORT DICKSON – Bersesuaian dengan moto “Membina Pewaris Legasi Gemilang”, Kelab Debat dengan kerjasama Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) USIM mengambil pendekatan proaktif menganjurkan Bengkel Keurusetiaan dan Penganjuran Kejohanan Debat 2012 bagi meningkatkan kemahiran para pelajar khususnya urus setia yang mengendalikan program-program anjuran kelab tersebut.

Bertempat di Rumah Peranginan Persekutuan Port Dickson, Negeri Sembilan bermula 12 hingga 13 Mei 2012 yang lalu, bengkel yang diadakan selama dua hari satu malam ini disertai seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tahun satu dan dua serta mendapat bimbingan 25 orang fasilitator yang terdiri daripada Pengurusan Senior Kelab Debat dan Alumni Kelab Debat, USIM.

Penganjuran bengkel ini amat bertepatan dengan peranan Kelab Debat dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dalam menganjurkan tiga pertandingan debat berskala besar setiap tahun iaitu Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM, Pertandingan Debat Bahasa Arab Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan dan Pertandingan Debat Bahasa Arab Institusi Pengajian Tinggi ASEAN.

Melalui pembentangan modul-modul penganjuran kejohanan debat oleh para fasilitator dan latihan dalam kumpulan, aktiviti ini dilihat banyak membantu para peserta untuk memahami aspek gerak kerja, pengurusan dan keurusetiaan apabila ingin menganjurkan sesebuah pertandingan debat.

Menurut pengarah program Rafeah Makhtar, pelajar tahun tiga, Fakulti Syariah dan Undang-undang, penganjuran bengkel seperti ini secara tidak langsung bertindak seperti serampang dua mata iaitu dapat merapatkan hubungan silatulrahim sesama peserta dan memastikan kelangsungan kepimpinan dan tadbir urus kelab yang cekap ini dapat terus dikekalkan.

“Penglibatan fasilitator berpengalaman yang berkongsi pelbagai input-input berguna disamping komitmen cemerlang para peserta sepanjang program amat saya puji dan hargai” tambah beliau lagi.

Pada hari terakhir bengkel, para peserta telah ditugaskan untuk membuat simulasi penganjuran pertandingan debat berdasarkan modul-modul yang telah mereka ikuti sebelum ini. Simulasi ini penting untuk mendedahkan kepada peserta keadaan sebenar dan gerak kerja belakang tabir sepanjang sesebuah pertandingan debat berlangsung.

Selain itu juga, melalui bengkel ini para peserta dan fasilitator telah berjaya menghasilkan satu modul baru iaitu “Takwim Gerak Kerja Jawantankuasa” yang akan menjadi rujukan kepada sesebuah jawatankuasa pertandingan debat dalam melaksanakan gerak kerja masing-masing dengan lebih teratur dan tersusun.

Oleh :

Penasihat Kelab Debat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).