PANDAN INDAH, 27 Ogos 2019 – Institut Sains Islam (ISI) menerusi siri syarahannya bilangan 4/2019 bertajuk “Islam and Modern Science” mengungkap hujah-hujah dari Al-Quran untuk merungkai sains moden, sekaligus menafikan kewujudan konflik antara Islam dan bidang sains moden. Siri syarahan yang berlangsung di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, di Kampus USIM di Pandan Indah, Kuala Lumpur telah mengundang Tn Hj Shah Kirit Kakulal Govindji yang merupakan Presiden di Unity Network, UNITY.
Tn Hj Shah atau lebih mesra dipanggil Bro Shah banyak merungkai Teori Relativiti dan bagaimana ia dapat meningkatkan iman manusia dalam mengkaji teori tersebut. Beliau menjelaskan bahawa Allah swt adalah pencipta alam semesta dan segala pergerakan di alam semesta adalah mengikut peraturan dan caturan Allah swt iaitu dari sekecil-kecil zarah sehingga ke sebesar-besar alam semesta termasuklah planet-planet dan berbilion-billion bintang di alam semesta.
Menurut Bro Shah, Special Theory of Relativity adalah kajian tentang foton radiasi elektromagnetik. Beliau berkata foton adalah spektrum cahaya seperti lampu, cahaya yang ada dalam ketuhar, x-ray dan sebagainya.
“Foton bergerak di dalam vakum dengan kelajuan cahaya, iaitu cahaya bergerak pada kelajuan 300 000 kilometer sesaat. Mengikut hukum fizik, ada dua perkara yang berkaitan dengan cahaya; (1) tiada jirim yang boleh bergerak lebih laju daripada kelajuan cahaya, dan (2) bila sesuatu bergerak semakin laju, masa menjadi semakin perlahan. Ini bererti, pada kelajuan cahaya masa menjadi sifar. Apabila foton bergerak pada kelajuan cahaya, maka bagi foton, masa adalah sifar (relativiti),” ujarnya.
Beliau turut menyatakan satu contoh iaitu masa cahaya dari matahari untuk sampai ke bumi mengambil masa lebih kurang 8 minit 15 saat. Namun katanya, jika foton bergerak dari matahari ke bumi pada kelajuan cahaya, ia mengambil masa sifar (kosong) yang bererti foton boleh berada di matahari dan di bumi pada waktu yang sama seterusnya foton bergerak di segenap lapisan semesta ini pada kelajuan cahaya.Beliau memberi pandangan bahawa foton boleh berada di semua tempat pada waktu yang sama.
“Penjelasan foton ini boleh jadi dapat dikaitkan dengan peristiwa israk dan mikraj iaitu perkara luar biasa dialami Rasulullah SAW, berlaku dalam waktu singkat iaitu pada sebahagian malam sahaja. Walaupun tidak logik pada pemikiran kita, peristiwa itu jelas disebut Allah oleh SWT di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetatahui.” (Surah al-Israk, ayat 1),” ujarnya lagi.
Tambahnya, Allah swt menuntut manusia untuk mengkaji alam semesta, seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran, surah Ar-Ra’d, ayat 3 yang bermaksud, “Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir”.
Makna ayat ini jelas menunjukkan bahawa pembelajaran sains moden sepatutnya meningkatkan iman penuntut atau pengamal ilmu tersebut kerana semakin banyak penemuan-penemuan baru dalam sains moden yang sebenarnya telah pun dijelaskan di dalam Al-Quran pada 1440 hijrah dahulu menerusi kisah-kisah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat, dan tabiq tabi’in.
Huraian ini jelas menunjukkan tiada konflik di antara Islam dan sains moden, malah ada hubungan di antara Islam dan ilmu sains moden. Sebagai contoh, Allah swt menciptakan hukum graviti dan menuntut manusia untuk mengkaji ilmu graviti. Dengan mengkaji kebesaran Allah swt dapat meningkatkan iman manusia sebagai hambanya – kerana melihat kekuasaan Allah.
ISI menerusi Siri Syarahan Sains Islamnya menjelajahi keluarga USIM, bukan sahaja di kampus Nilai malah di kampus Pandan Indah sebagai inisiatif strategik dalam menyampaikan maksud dan takrifan ilmu sains Islam ke setiap peringkat lapisan kakitangan USIM tanpa mengira fakulti atau jabatan.
Disediakan oleh :
Dr. Farhana Sabri
Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Dikemaskini oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan