NILAI, 22 Disember 2018– Kumpulan teater Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) Kelab Urus Setia Kesenian Pelajar, Pusat Kebudayaan USIM telah mempersembahkan teater Asrama Ra berlangsung pada 21 dan 22 Disember 2018 di Panggung Budaya, Pusat Kebudayaan, Universiti Sains Islam Malaysia.
“Skrip yang ditulis oleh seorang penggiat teater tanah air yang tidak asing lagi Khairunazwan Rodzy yang bertajuk Asrama Ra, yang menyentuh isu-isu remaja yang berlatarkan pelajar sekolah menengah yang tinggal di asrama dan ianya sangat dekat dengan masyarakat kita. Kata Mohd Rofiki Rahim, ketua kumpulan ATRA. Beliau memanjatkan rasa syukur kerana berjaya mempersembahkan teater pada kali ini dan Asrama Ra merupakan buah tangan pertama bersama tenaga produksi baharu yang terdiri daripada mahasiswa tahun satu dan dua.
Asrama-ra mengisahkan tentang sekumpulan pelajar sekolah iaitu Ayu, Nabela, Azwa, Suhaila dan Laili yang sedang menjalani kem kepimpinan di asrama sekolah mereka sendiri sambil diiringi oleh Cikgu Sabariah dan juga Cikgu Adam. Pada malam terakhir, dua orang pelajar perempuan mengalami histeria secara tiba-tiba dan perkara menjadi semakin rumit apabila kejadian demi kejadian berlaku. Dalam masa yang sama, mereka didatangi mimpi-mimpi ngeri yang bercerita tentang rahsia mereka masing-masing dan mimpi tersebut berkaitan dengan kematian kawan baik mereka, Nor. Dalam keadaan yang keliru dan penuh prasangka di antara mereka, wujud satu pertelagahan besar yang membawakan kepada pembongkaran sebenar punca Nor mati membunuh diri di bilik asrama yang sedang didiami pelajar-pelajar tersebut ketika itu.
Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM menyatakan bahawa program ini merupakan aktiviti tahunan yang dirancang untuk memberi latihan kepada tim produksi teater di samping menggalakkan aktiviti keusahawanan pelajar melalui penjualan tiket.
“Teater bukan sekadar hiburan tetapi ia juga berperanan sebagai medium pendidikan atau penyebaran ilmu, kerana teater mempunyai pelbagai genre seperti monodrama, tradisional, muzikal, bangsawan dan sebagainya, kata Mohamad Akmal Razali, Pegawai Kebudayaan USIM yang juga merupakan penyelaras bagi pementasan kali ini. Jelas Akmal, ATRA perlu menjadi lebih proaktif dalam pengurusan dan pementasan teater supaya mereka lebih dikenali sebagai sebuah kumpulan teater yang mampu memberi manfaat, mendidik dan menyampaikan mesej yang terbaik kepada masyarakat. Melalui seni teater, kita diajar untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam menghayati watak, lontaran suara, jika dihayati seni persembahan sebenarnya boleh digunakan dalam pembelajaran formal.” jelasnya lagi
“Persembahan yang sangat bagus dan kreatif di samping mendidik pelajar berkarya dan berani membantu keyakinan diri pelajar” ujar Prof. Madya Dr Alina Rahim, pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi yang hadir menyaksikan pementasan tersebut. Beliau turut memberi pandangan bahawa mahasiswa perlu berkarya dan berani untuk melibatkan diri dalam bidang seni teater dan mencadangkan agar aktiviti sebegini lebih kerap diadakan dalam kampus.
“Pengalaman saya semasa berlakon dalam panggung budaya membuatkan saya lebih yakin untuk berdepan dengan orang ramai kerana cerita ini sangat dekat dengan masyarakat kita dan banyak pengajaran yang mampu kita perolehi menerusi mesej yang hendak disampaikan.” Kata Wan Nur Afifah Che Bakar, salah seorang pelakon teater Asrama Ra.
Produksi ini dijayakan oleh serama 26 tenaga produksi yang terdiri daripada mahasiswa tahun satu dan tiga yang telah menjalani latihan selama sebulan dibawah bimbingan penggiat teater tanah air yang juga Pengajar seni budaya USIM Aloeng Silalahi. Pementasan yang berlangsung dua malam tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan oleh mahasiswa USIM dan hampir 150 penonton hadir memenuhi Panggung Budaya, Pusat Kebudayaan USIM.
Disediakan oleh:
Nasuha Mahmud & Rozihani Mohamad
Pusat Kebudayaan USIM
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032