NILAI 1 April 2020 – Penularan wabak Corona Virus Disease 19 (COVID-19) semakin meningkat saban hari. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan bermula 18 Mac lalu telah menghadkan pergerakan semua orang dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak agar ia tidak menjadi lebih serius.

Susulan itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ambil langkah proaktif dalam memastikan warga USIM sama ada staf dan pelajar dengan sentiasa berkongsi maklumat serta menyediakan khidmat saringan kesihatan untuk memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik. Sejak 16 Mac sehingga hari ini 1 April 2020, saringan kesihatan terus dijalankan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Menurut Dr. Nik Shafikudin Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, petugas kesihatan USIM telah dibekalkan dengan alat perlindungan peribadi (Personal Protective Equipment) iaitu gaun, face shield, 3 ply mask dan sarung tangan untuk menjalankan tugasan mereka sebagai frontliners universiti agar tidak menular dalam kalangan staf dan pelajarnya.

“Bilik Gerakan COVID-19 USIM beroperasi setiap hari bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 9.00 malam pada hari bekerja, manakala 8.30 pagi sehingga jam 8.00 malam pada hari minggu dan cuti umum. Data yang terkumpul sehingga 31 Mac 2020 seramai 2146 orang yang telah disaring dengan pecahan 852 lelaki dan 1257 perempuan. Daripada jumlah tersebut, seramai 1318 adalah pelajar dan 655 adalah staf”.

Tambah beliau lagi, daripada pecahan kes berisiko COVID-19 di USIM, seramai 29 orang ada sejarah pulang dari luar negara, 13 orang kontak rapat dengan pesakit COVID-19, 6 orang yang terlibat dengan kes Ijtima’ Tabligh serta 88 orang mempunyai simptom batuk, selsema dan demam.

“Kaedah yang dilaksanakan untuk mengawal jangkitan di dalam kampus USIM adalah dengan kerjasama pihak Keselamatan USIM yang akan melakukan peemeriksaan suhu badan di pintu masuk utama seterusnya, mereka perlu terus ke PKU untuk jalani saringan serta semburan disinfeksi sebelum mereka masuk ke pejabat ataupun asrama”.

Walaubagaimanapun, semua staf dan pelajar tidak digalakkan keluar sekiranya tiada keperluan mendesak. Pihak universiti turut menyumbang makanan dan keperluan harian kepada para pelajar dan staf yang memerlukan. Ia adalah hasil kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat USIM dengan beberapa jabatan lain seperti Pusat Perumahan Pelajar, Pusat Alumni dan Kerjaya, Koperasi, Badan Kebajukan Kakitangan (BKKUSIM), KUSIMA, Persatuan Kakitangan Akademik (PKA USIM), Penerbit USIM serta PRAGMATIS.

USIM juga menyediakan rumah khusus kepada pelajar USIM dan pelajar luar seperti UUM, UMP, UNISZA dan UNIMAS yang baru pulang dari luar negara untuk tujuan kuarantin sehingga tempoh inkubasi tamat.

USIM juga turut memastikan staf yang bertugas akan membersihkan diri serta salin pakaian sejurus habis bertugas dan sebelum pulang ke rumah. Bagi membendung penularan COVID-19 ini dari terus merebak, ikutilah saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mematuhi saranan berikut iaitu memakai penutup mulut dan hidung sekiranya selsema dan batuk, kerap membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan hand sanitizer, amalkan jarak 1 meter daripada orang lain dan sentiasa berada di rumah. Sama-sama kita membantu barisan hadapan Malaysia untuk hapuskan rantaian COVID-19.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan