NILAI, 8 Mac 2019 –  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif untuk meningkatkan potensi keusahawanan dalam kalangan pelajar dengan mengadakan kerjasama bersama Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan bagi memperkasa penubuhan Koperasi Siswa USIM Berhad.

Menurut Pendaftar USIM, YBhg Dato’ Muhammad Haizuan Rozali berkata, sebagai institusi pendidikan, proses transformasi ilmu itu telah berlaku di mana USIM mempunyai ramai pensyarah yang pakar dalam bidang keusahawanan. Pelbagai program keusahawanan dijalankan oleh Sekretariat Latihan Keusahawanan Siswa (SELKS), My Agrosis dan ENACTUS USIM yang bernaung di bawah Pusat Keusahawanan Universiti USIM (PKUU). Justeru, dengan inisiatif untuk memperkasa semula Koperasi Siswa USIM Berhad, ia akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan setiap ilmu yang dipelajari dengan mengusahakan pelbagi sektor perniagaan seperti makanan, minuman, pakaian, ternakan, keselamatan, kenderaan, perumahan dan sebagainya.

“Oleh itu, bagi merealisasikan hasrat melahirkan pelajar yang mempunyai ciri berkeusahawanan, pihak pengurusan telah melantik Tn Hj Mohd Yusof bin Hassan iaitu Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan selaku Karyawan Tamu di Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU), “katanya lagi.

Menurut Tuan Hj Mohd Yusof, beliau mempunyai hasrat yang besar untuk memanfaatkan USIM sebagai pelopor dalam bidang keusahawanan. Ini kerana, katanya berdasarkan kajian lepas (tahun 2016 dan 2017), statistik pelajar IPT yang menceburi bidang keusahawanan ini terlalu sedikit iaitu tidak melebihi 10% setiap tahun (secara purata).

Oleh itu, saya berhasrat untuk menambahbaik Koperasi Siswa USIM Berhad, dengan membimbing mahasiswa USIM sehingga dapat melahirkan usahawan yang lebih praktikal dan mempunyai ilmu dalam bidang keusahawanan, katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Pengarah PKUU, Dr Mohd Shukor Harun berkata pelantikan ini selaras dengan usaha USIM untuk melahirkan graduan yang mempunyai minda keusahawanan mengikut model Graduan Integrasi Naqli dan Aqli (GIINA) USIM.

“Ini kerana, kita inginkan pelajar yang aktif dalam aktiviti keusahawanan, boleh menghasilkan inovasi dan berkeupayaan menyediakan kanvas model perniagaan yang selari dengan perubahan idea baharu dan cabaran di masa akan datang supaya mereka sedar bahawa peluang sentiasa berada di depan mata,” katanya lagi.

Dengan pelantikan Tuan Hj Mohd Yusof ini sebagai Karyawan Tamu di PKUU USIM ini diharapkan dapat merencana lebih banyak idean dan memberi panduan untuk menggilap bakat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa USIM di samping memberi nilai tambah dan kemahiran ‘soft skills’ dalam diri setiap mahasiswa, katanya di akhir perbualan.

Tuan Hj Mohd Yusof bin Hassan dilantik sebagai Karyawan Tamu USIM bermula Mac 2019 ini merupakan anak jati negeri Johor dan menjadi Pengerusi kepada lima buah koperasi di Johor.

 

Disediakan oleh:
Dr fauziah Hassan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032