NILAI, 04 November 2019 – Dalam usaha mencapai matlamat pembangunan lestari pada 2030, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah merangka strategi awal untuk mengenal pasti isu kritikal dalam mencapai agenda pembangunan mapan dengan memetrai Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) untuk melihat keseimbangan matlamat pembangunan lestari dan keperluan rakyat menerusi penyelidikan berasaskan komuniti (Community-based Research) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Lembaga Pentadbiran M.A.S Kampong Bharu (M.A.S).

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPPI), USIM, Profesor Madya Dr. Mahazan Abdul Mutalib @ Taib yang pernah mengikuti Mentor Training Program (MTP) anjuran UNESCO berkata MoU ini adalah sebagai platform pelaksanaan agenda pembangunan lestari di mana USIM mengambil tanggungjawab untuk memberi fokus kepada SDG4 iaitu pendidikan berkualiti.

“Dengan adanya kerjasama bersama MBM dan M.A.S ini matlamat untuk menjadikan universiti sebagai sasaran pembangunan lestari (SDGs) UNESCO terutama SDG 4 (Pendidikan) akan tercapai melalui penyelidikan berasaskan komuniti terutama komuniti di Kampong Bharu dengan memberi peluang kepada komuniti untuk bekerjasama dengan para penyelidik selain menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua,” katanya.

Ini kerana, pendidikan menerusi komuniti adalah terbukti boleh menghasilkan impak yang praktikal dan mampu membawa perubahan dari akar umbi dan memberi peluang kepada penduduk menikmati pendidikan secara non-formal, katanya lagi.

Manakala, Timbalan Pengarah Unit Inovasi, Perkembangan Produk dan Pengkomersialan, PPPI USIM, Dr. Sundresan A/L Perumal berkata USIM akan menyediakan sumber dan ruang jika latihan melibatkan kawasan pusat seperti Kuala Lumpur dan Selangor serta sekitar wilayah selatan.

Majlis menandatangani MoU itu diwakili oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, MBM diwakili oleh Encik Jufitri Bin Joha manakala pihak M.A.S diwakili oleh Tuan Haji Shamsuri Bin Haji Suradi. Dalam masa yang sama, PPPI USIM turut memeterai MoU dengan Stradford International College (SIC) yang diwakili oleh En. Kumar Ghosh selaku Pengarah SIC. SIC adalah organisasi yang berdaftar dengan Dana Pembangunan Sumber Manusia.

MoU itu merangkumi pelbagai bentuk kerjasama dan berpotensi untuk mengukuhkan, mempromosikan dan membangunkan bidang penyelidikan, pendidikan dan program latihan berasaskan teknikal dan juga berkaitan revolusi industri 4.0 yang akan membawa transformasi baru dalam pendidikan berasaskan teknikal.

Terdahulu, USIM, MBM dan M.A.S yang melibatkan kerjasama dengan pihak The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah menjalankan kerjasama awal dengan menjayakan projek K4C (Knowledge for Change) iaitu sebuah konsortium antarabangsa untuk Penyelidikan Berasaskan Komuniti (Community-based Research) yang bertujuan untuk membangunkan kapasiti sesebuah institusi dan masyarakat menerusi Program Latihan Mentor (MTP) dan aktiviti Penyelidikan bersama komuniti.

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hasan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan