PUTRA HEIGHTS – Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, hari ini 4 April 2025  menziarahi seorang pelajar USIM yang terkesan dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Pelajar terbabit, Ainaa Syazana Mohamad Asnawi,22, merupakan pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Pengajian Akidah dan Agama Dengan Kepujian, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).

Letupan yang berlaku sekitar jam 5.00 pagi itu berpunca daripada kebocoran pada saluran paip gas milik Petronas. Letupan besar tersebut mencetuskan kebakaran hebat dengan api menjulang lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Insiden ini telah menyebabkan lebih 100 orang cedera dan kerosakan teruk di kawasan kediaman sekitar.

Ketika kejadian, Ainaa berada di dalam rumah bersama keluarganya. “Apabila gegaran berlaku, kami terus berlari keluar menyelamatkan diri. Alhamdulillah, kami sekeluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

5

Namun begitu, kediaman mereka turut terjejas. Bahagian sisi kenderaan keluarga melebur, dan bumbung rumah mengalami kerosakan akibat tempias letupan serta hujan batu api.

Kini mereka berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights yang disediakan pihak berkuasa.

“Aidilfitri tahun ini memang sangat berbeza. Kami tidak dapat menyambut raya seperti biasa, tidak dapat memasak bersama, ziarah keluarga atau sambut tetamu. Tetapi saya tetap bersyukur kerana kami masih bersama dan selamat,” katanya lagi.

Dalam lawatan tersebut, Naib Canselor menyampaikan sumbangan daripada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar.

“Kami di USIM amat prihatin dengan keadaan pelajar kami. Lawatan ini bukan hanya untuk menyampaikan bantuan serta sokongan, tetapi untuk menunjukkan bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian hidup ini,” ujar Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin.

Ainaa turut menyatakan rasa terharu dan dihargai atas kunjungan dan perhatian yang diberikan oleh pihak universiti. “Saya benar-benar berbesar hati menerima kunjungan ini. Saya rasa dihargai dan diambil berat. Rakan-rakan dan pihak universiti juga sangat membantu, dari segi sumbangan dan kata-kata semangat yang menguatkan saya,” katanya.

Pihak USIM akan terus memantau keadaan pelajar berkenaan dan menyediakan bantuan dan yang diperlukan seperti sokongan psikologi oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar sepanjang tempoh pemulihan.

 

Sumber: Pusat Hal Ehwal Pelajar