NILAI, 10 April 2020 – Setelah menghasilkan produk cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan pelindung muka (face shiled) untuk barisan hadapan khususnya petugas kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini menghasilkan pula pakaian perlindungan diri (PPE). Usaha murni ini diterajui dan digerakkan oleh pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM dan kakitangan Klinik Pakar Kesihatan USIM (KPKU) dengan sasaran sebanyak 4500 unit PPE dapat disiapkan menjelang akhir April ini.

Projek penghasilan PPE oleh USIM yang terdiri daripada gaun, head cover dan boot cover telah bermula pada 2 April lalu secara berperingkat. Menurut Profesor Madya Dr Azlina Mokhtar Pakar Oftalmologi selaku Ketua Projek ini, beliau terpanggil untuk menggerakkan usaha ini atas rasa prihatin dan ingin membantu rakan-rakannya yang bertugas di barisan hadapan menghadapi kekurangan bekalan PPE di hospital. Justeru, usaha awal dimulakan dengan mengumpul sumbangan kewangan dan membentuk pasukan sukarelawan terdiri daripada pensyarah perubatan FPSK USIM dan staf KPKU untuk menjahit PPE ini.

Hasil daripada usaha awal ini, sebanyak 470 unit PPE berjaya dihasilkan dan telah disumbangkan ke Hospital Ampang. Tidak terhenti di situ, melalui sokongan yang diterima daripada Pengurusan Universiti, pasukan Projek PPE USIM ingin menghasilkan lebih banyak PPE untuk disumbangkan kepada frontliners.

“Ketika ini USIM dalam penghasilan PPE untuk Kumpulan Kedua sebanyak 1000 unit dan kita bekerjasama dengan syarikat jahitan tempatan iaitu Kamoora Butik Entreprise dan Pookal Industry Sdn Bhd. Ia berjalan lancar mengikut jadual dan akan disumbangkan ke Hospital Ampang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; dan  Hospital Port Dickson. Ketiga-tiga hospital ini merupakan Hospital Pengajar kepada pelajar perubatan USIM juga”.

“Tidak hanya menyumbang keperluan PPE di Hospital Pengajar, kita juga kini berjalan lebih awal projek untuk menyediakan Kumpulan Ketiga PPE sebanyak 1000 unit khusus untuk memenuhi keperluan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban. Sukarelawan kita sedang menyiapkannya di Pusat Inkubator Jahitan USIM dibawah penyelarasan Pusat Keusahawan Universiti” tambahnya.

USIM mensasarkan sebanyak 2000 unit lagi PPE dapat dihasilkan untuk Kumpulan Keempat dan akan diagihkan bukan sahaja kepada Hospital Pengajar USIM dan HTJ, tetapi akan turut digunakan untuk menampung keperluan Klinik Pakar Kesihatan USIM dan Pusat Hemodialysis USIM di Nilai, Klinik Kesihatan dan Pusat Kesihatan Daerah.

Sebanyak RM67,000 kos kewangan diperuntukkan untuk usaha murni ini dengan sebahagian kos ditampung melalui sumbangan daripada Majlis Dato’-Dato’ Kurnia Negeri Sembilan, Yayasan Munarah Negeri Sembilan, Tabung COVID-19 USIM, Jemaah Profesor USIM dan sumbangan individu dalam kalangan pensyarah FPSK dan staf KPKU sendiri.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan