NILAI, 21 Oktober 2021 – Sebagai usaha ke arah merealisasikan Misi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2022 menjadi sebuah Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi pada tahun 2022, USIM kini berusaha menggerakkan dan mengaktifkan kerjasama dengan banyak pihak antarabangsa, terutama untuk tujuan latihan, penyelidikan, dan perkongsian kepakaran.

Dalam satu majlis yang diadakan secara dalam talian, Memorandum Persefahaman dimeterai antara USIM dan Sekolah Tinggi Islam dan Bahasa Arab (STIBA), Makassar Indonesia untuk membantu dan menyokong satu sama lain dalam untuk projek-projek yang saling akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Antara kerjasama yang akan dijalankan antara USIM dan Makassar adalah penganjuran bersama dalam seminar/persidangan antarabangsa, kerjasama dalam penyelidikan dan penerbitan, pertukaran pelajar dan staf akademik, dan perkongsian pengetahuan berkenaan integrasi ilmu Naqli dan ilmu Aqli.

Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berkata, USIM merupakan sebuah Universiti peneraju integrasi Ilmu Naqli dan Ilmu Aqli berteraskan pendidikan Islam yang sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan keupayaannya di dalam bidang akademik dan penyelidikan serta telah mengambil pelbagai insiatif untuk menjayakan program akademik dan projek penyelidikan melalui jalinan hubungan pintar dengan institusi dan organisasi yang tertentu.

“Diharapkan dengan termeterainya memorandum persefahaman ini akan membantu USIM untuk menghasilkan graduan dan alumni yang profesional, berintegriti, kompeten dan berdaya saing serta bebas rasuah dan amanah. Selain itu, menghasilkan pelajar yang beradab, holistik dan seimbang serta cemerlang dalam akademik melalui kurikulum yang terkini dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkualiti untuk memaksimumkan ’student learning experience serta meningkatkan pengiktirafan USIM dalam Pendidikan Islam, Sains Islam, Sains Sosial dan Bahasa Arab dalam menarik lebih ramai pelajar, penyelidik, pakar-pakar serta ahli akademik untuk berkerjasama dengan USIM.

Turut serta dalam majlis secara dalam talian ini Dr. Akhmad Hanafi Dain Yunta, Ketua Sekolah Tinggi Islam dan Bahasa Arab (STIBA), Makassar, Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Penolong Naib Canselor, Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan USIM,  Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM, Encik Ahmad Syaripudin wakil Ketua IV STIBA Makassar, Encik Muhammad Istiqamah, Kepala Bagian Humas dan Kerjasama, STIBA Makassar, Dr. Bayu Taufiq Possumah, Timbalan Akselerasi Kerjasama, STIBA Makassar dan Tuan Haji Mohd Saupi Pauzi, Pengarah USIM ‘Alamiyyah USIM.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan