NILAI, 4 September 2018 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima seramai 2,198 pelajar baharu sesi akademik 2018/2019 dengan jumlah 1,560 pelajar perempuan dan 638 pelajar lelaki dari unjuran keseluruhan iaitu 2,773 tempat yang ditawarkan untuk mengikuti 27 program pengajian peringkat Sarjana Muda. Manakala seramai 19 orang pelajar antarabangsa turut mendaftarkan diri antaranya dari Singapura, Indonesia, Gambia, Nigeria, Cambodia dan Libya.
Tahun ini Fakulti Ekonomi dan Muamalat mencatat pelajar paling ramai iaitu 403, diikuti Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah 399, Fakulti Sains dan Teknologi 383, Fakulti Syariah dan Undang-undang 290, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan 283, Fakulti Pengajian dan Bahasa Utama 266, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan 81, Fakulti kejuruteraan dan Alam Bina 58, dan Fakulti Pergigian seramai 35 orang pelajar.
Manakala seramai 179 pelajar siswazah termasuk 7 darinya dari antarabangsa telah mendaftar diri sebagai pelajar Siswazah bagi menyambung pengajian mereka di USIM.
Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad dalam ucapannya berkata, sebagai Universiti berteraskan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli, USIM bertekad dan beriltizam untuk terus memperkasakan pelajarnya dengan semangat jati diri yang teguh dan kemahiran profesional yang lengkap berlandaskan Islam sebagai pacu utama dalam usaha memastikan graduan USIM mampu bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar. Untuk memastikan hasrat ini terus relevan di peringkat nasional dan global, USIM akan terus berusaha memperkukuh dan mengangkat reputasinya sebagai pelopor kepada pengajian dan penyelidikan berasaskan Sains Islam.
YAB Tuan Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan dalam ucapannya berkata, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar para pelajar USIM dapat mendalami ilmu yang dipelajari di sini dengan sebaiknya dan membawa nama Malaysia dan Islam itu ke peringkat lebih tinggi agar lebih dikenali.
“Paduan disiplin ilmu konvensional dengan pendidikan Islam yang diperkenalkan oleh universiti Sains Islam Malaysia ini bukan sahaja akan dapat melahirkan insan yang berilmu dan berkemahiran bahkan satu usaha untuk mewujudkan rakyat yang berkualiti serta mempunyai jati diri dan kerohanian yang kukuh“.
“Dalam konteks mensyukuri keamanan dalam negara yang kita kecapi ini, tanamkahlah sifat cintakan tanah air, tidak membuat kacau bilau yang memporakperandakan tanah air dan sentiasa mencurah khidmat bakti kepada masyarakat dan negara mengikut keupayaan dan kepakaran kita. Jauhkanlah diri daripada terjebak dengan keganasan dan kumpulan pelampau yang boleh merosak dan memecahbelahkan agama dan negara“ujar beliau semasa menyempurnakan Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu sesi 2018/2019.
Bagi pasangan kembar Siti Mariani dan Siti Mariana Bt Ismail, 19, dari SMKA LATI, Pasir Mas Kelantan, anak bongsu dari enam beradik ini melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat meneruskan pengajian bersama di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Sains dan Teknologi. Sebelum ni, Mariani merupakan pelajar Asasi Tamhidi USIM, manakala adiknya Mariana belajar Diploma di UITM. Dengan menjadikan USIM sebagai pilihan pertama dan yakin dengan kelebihan integrasi Naqli dan Aqli yang diterapkan oleh USIM akan menjadi medan terbaik untuk melatih mahasiswa dan mahasiswi yang seimbang dari pelbagai aspek termasuk rohani dan jasmani.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032