Dengkil, 4 September 2010 – Kira-kira 18 orang anak yatim dan miskin dari Taman Baiduri, Dengkil Selangor menerima sumbangan makanan, pakaian dan duit raya sempena program ziarah dan penyampaian sumbangan aidilfitri anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (BKKUSIM).

Pengerusi BKKUSIM, En. Nur Ekmal Buhary berkata, program ziarah ini bertujuan untuk melihat sendiri kehidupan anak-anak yatim dan miskin di samping menyampaikan sedikit sumbangan sebagai ingatan dan kasih sayang dari USIM kepada mereka.

“Mungkin sumbangan yang diberikan oleh kami ini tidak seberapa tetapi mempunyai erti yang besar bagi anak-anak yatim dan miskin Taman Baiduri. Saya berharap dengan sumbangan ini dapatlah kiranya anak-anak ini menyambut aidilfitri dengan sempurna dan gembira”, tambah Ekmal lagi

Menurut En. Mohd Shukry Md Latar selaku pengerusi rumah tersebut berkata, rumah Anak-Anak Yatim/Miskin Taman Baiduri telah dibuka pada 15 Mac 2009 di sebuah kediaman yang diwakafkan khusus untuk anak-anak yatim dan miskin lelaki.

“Rumah ini bertujuan membantu anak-anak yatim dan miskin lelaki yang terbiar, tiada tempat tinggal, tiada waris yang sudi menjaga, tercicir dari alam persekolahan serta buta huruf dan mendapat jagaan yang sempurna terutama dari segi pendidikan, tempat tinggal, makanan dan pakaian”, tambah Shukry lagi.

“Anak-anak ibu tunggal yang memerlukan jagaan sementara kerana kematian bapa atau perceraian, adik-beradik ramai, ibu berpenyakit kronik dan hidup dalam kemiskinan juga diberi perhatian oleh rumah ini”, katanya.

Penghuni rumah ini bermula dengan 7 orang anak-anak yatim dan miskin sehinggalah mencecah 18 orang. Mereka datang dari pelbagai negeri dan negara seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Thailand dan Acheh.

Salah seorang anak yatim dan miskin, Saadan bin Jaafar 16 tahun dari Thailand Narathiwat berkata setiap hari terutama di bulan ramadhan mereka sering menerima sumbangan makanan, pakaian dan duit raya oleh masyarakat yang prihatin.

“Saya cukup gembira dan berterima kasih kepada mereka yang telah memberikan sumbangan yang sedikit sebanyak dapat menyerikan sambutan 1 Syawal pada kali ini bersama keluarga” kata Saadan yang merupakan pelajar sekolah tahfiz Dato’ Ahmad Rozali.

Bagi Firdaus bin Hanita, 10 tahun dari Padang Serai, Alor Setar Kedah berkata beliau akan menyambut aidilfitri bersama keluarga di Kedah.

“Ustaz Shukry akan menghantar saya dan juga rakan-rakan lain untuk pulang berhari raya bersama keluarga di Kedah”, tambah Firdaus lagi.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Gambar oleh : Mohd Yusrizal Mohd Yunus (06-7988058)