NILAI Seramai 233 atlet Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggalas cabaran memburu sasaran enam pingat pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Kali Ke-7 yang akan berlangsung di Universiti Malaya (UM) dari 28 Ogos hingga 6 September 2026.

Kontinjen USIM yang terdiri daripada 150 atlet lelaki dan 83 atlet wanita serta diiringi 29 pegawai akan berentap dalam 16 daripada 30 acara sukan yang dipertandingkan menerusi dua fasa kejohanan.

Sasaran enam pingat diletakkan menerusi beberapa acara tumpuan termasuk silat, lawn bowls, petanque, memanah dan catur, sekali gus dalam usaha memperbaharui pencapaian satu pingat perak dan empat gangsa yang diraih pada SUKIPT Kali Ke-6 di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2024.

Semangat kontinjen USIM turut diperkukuh menerusi Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen USIM SUKIPT Kali Ke-7 yang berlangsung di Dewan Kuliah 1, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), pada 26 Ogos 2026.

Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani yang turut menyampaikan amanat kepada para atlet agar sentiasa menjaga maruah dan nama baik universiti sepanjang kejohanan berlangsung.

“Jagalah nama baik USIM, patuhi segala peraturan pertandingan serta sentiasa menunjukkan sikap profesional dan berintegriti. Ingatlah bahawa setiap kali saudara dan saudari melangkah ke gelanggang, padang atau arena pertandingan, saudara dan saudari bukan sahaja membawa nama sendiri, tetapi turut membawa nama Universiti Sains Islam Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para atlet supaya menjadikan penyertaan dalam SUKIPT sebagai medan membina jati diri, keyakinan dan semangat berpasukan, selain mengejar kejayaan dalam pertandingan.

“Jadikan penyertaan ini bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan dan pingat, tetapi sebagai satu ruang untuk membina keyakinan diri, mengukuhkan semangat berpasukan serta memupuk nilai disiplin, integriti dan daya tahan yang tinggi.

“Jadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk membuktikan keupayaan dan semangat juang warga USIM,” katanya.

Kontinjen USIM akan bersaing dalam dua fasa, dengan Fasa 1 berlangsung dari 28 Ogos hingga 3 September, manakala Fasa 2 dijadualkan dari 1 hingga 6 September.

Sebanyak 16 acara yang disertai USIM ialah bola tampar, bola baling, bola keranjang, badminton, lawn bowls, olahraga, petanque, ping pong, ragbi 7 sebelah, sepak takraw, tenis, tenpin bowling, catur, e-sukan, memanah dan silat.

Majlis penyerahan bendera itu turut disemarakkan dengan nyanyian lagu patriotik bersama-sama para atlet dan tetamu sebagai simbol sokongan serta semangat kontinjen sebelum berangkat menghadapi kejohanan.

Penyertaan di SUKIPT bukan sahaja menjadi medan untuk atlet USIM mencabar kemampuan dalam sukan berprestasi tinggi, malah membawa aspirasi universiti dalam melahirkan mahasiswa Muslim profesional yang berdisiplin, berintegriti, berdaya tahan dan mampu menampilkan nilai-nilai positif ketika bersaing di pentas nasional.

Oleh: Nur Khadija Sulaiman