NILAI, 14 Januari 2022 –  Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dianugerahkan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) membawa gelaran Dato’ bersempena Hari Keputeraan Yang ke-74 Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 14 Januari 2022.

Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris, bukan asing lagi dalam kalangan warga USIM kerana beliau merupakan Pengerusi Pusat Pemberian Vaksin IPT Mega USIM, antara tulang belakang yang menjayakan operasi PPV IPT Mega selama hampir empat bulan di Dewan Tuanku Canselor pada tahun lepas.

Beliau merupakan Doktor Pakar Obstetrics & Gynaecology di USIM, dan pernah dilantik sebagai perunding pelawat dalam bidang kepakaran beliau di Hospital Ampang, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, Hospital Port Dickson dan Nilai Medical Centre. Beliau juga merupakan Pengerusi Mesyuarat Majlis Dekan Fakulti Perubatan Universiti Awam Malaysia, selain merupakan ahli Majlis Perubatan Malaysia.

Turut menerima darjah kebesaran lain, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang yang dianugerahkan pingat Darjah Pekerti Terpilih (DPT).

Dua pensyarah iaitu Prof Dr Azman Ab Rahman dari Fakulti Syariah dan Undang-undang dan Dr Nizam Baharom dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan masing-masing menerima pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS).

Manakala Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dianugerahkan kepada Encik Rozaimi Kamaruddin Penolong Pegawai Keselamatan, Encik Nurul Hisham Yahaya Penolong Jurutera Kanan (Elektrik) Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Fasiliti dan Puan Azlin Mahmud, Penolong Pegawai Tadbir Pusat Perumahan Pelajar.

Pengurniaan darjah, bintang dan pingat kepada kakitangan USIM secara langsung merupakan satu bentuk penghargaan kepada sumbangan dan Perkhidmatan yang cemerlang kepada universiti khususnya serta Negeri Sembilan amnya.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan ini berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah selama tiga sesi iaitu pada 14 Januari bagi sesi I, 22 Januari bagi sesi II dan 27 Januari bagi sesi III. Seramai 410 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat yang dikurniakan pada hari kebesaran tersebut.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan