TANJUNG MALIM – Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih Anugerah AMAR Terbaik Universiti Awam sempena Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (KAMAR) 2026 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari 7 hingga 9 Ogos lalu.

USIM diwakili oleh Timbalan Presiden II AMAR USIM, Nurul Wajihah Nordin, 21, dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dalam konvensyen anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertujuan memperkukuh peranan mahasiswa dalam membudayakan nilai integriti dan antirasuah.

Menurut Nurul Wajihah, penyertaannya dalam KAMAR 2026 memberikan pengalaman baharu menerusi pelbagai pengisian yang menekankan aspek integriti, antirasuah serta peranan mahasiswa dalam mendepani isu rasuah.

“Saya sangat bersyukur dengan pengiktirafan yang diterima oleh AMAR USIM dan menganggapnya sebagai penghargaan terhadap usaha yang telah diberikan sepanjang mengikuti KAMAR 2026.

“Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang tiga hari dua malam konvensyen ini, terutama melalui perbincangan dan perkongsian bersama peserta daripada institusi lain,” katanya.

Beliau berkata, antara pengisian yang memberikan pengalaman bermakna ialah sesi Perbincangan dan Pembentangan Kumpulan yang dikendalikan oleh fasilitator SPRM. Peserta dibahagikan kepada enam kumpulan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan peranan Angkatan Mahasiswa Antirasuah.

“Kami perlu berbincang dalam kumpulan dan membentangkan hasil perbincangan di hadapan panel serta peserta lain. Selepas pembentangan, panel turut mengemukakan soalan berkaitan isu yang dibincangkan, jadi kami perlu bersedia memberikan pandangan berdasarkan hasil perbincangan kumpulan,” katanya.

Nurul Wajihah berkata, peluang berinteraksi dan bekerjasama dengan peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi turut membolehkannya bertukar pandangan serta memahami pendekatan berbeza dalam memperkukuh agenda integriti dan antirasuah dalam kalangan mahasiswa.

“Saya berharap pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus menghasilkan inisiatif yang lebih kreatif dan relevan dalam memperkukuh budaya integriti serta antirasuah dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

KAMAR 2026 menghimpunkan seramai 120 wakil daripada 120 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia merangkumi universiti awam (UA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan MARA (IPMa).

Penganjuran konvensyen itu menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan integriti dan antirasuah, selain memperkasakan peranan mereka sebagai agen perubahan dalam usaha membentuk masyarakat yang berintegriti dan bebas daripada rasuah.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar